Apa salahnya kami komen ‘aksi’ seorang pelakon? - Utusan Malaysia

Apa salahnya kami komen ‘aksi’ seorang pelakon?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan koreografer aksi, Fad Anuar, 35, tidak menafikan kualiti babak aksi dalam sesetengah naskhah tanah air masih kelihatan kaku.

Fad yang menguasai enam jenis ilmu persilatan, berpendapat kelemahan itu berpunca daripada pelakon yang gagal menguasai asas seni berlawan sebelum melakonkan sesebuah adegan.

“Pelakon muda khususnya wajib mempunyai asas seni bela diri. Ramai yang teruja, tapi tidak buat persediaan sepatutnya.

“Jika tidak, kualiti persembahan yang ditonjolkan tidak cukup untuk meyakinkan mereka boleh berlawan.

“Dalam skrin, bukan pelakon sahaja perlu ada karakter, ‘fighter’ pun perlu ada karakter. Jika tiada asas, sesebuah adegan itu akan jelas nampak kekok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah anak saudara kepada pelakon veteran Eman Manan itu lagi, pengamal seni bela diri bebas memberikan kritikan terhadap kualiti aksi yang ditonjolkan di sesebuah naskhah.

“Mereka yang mengamalkan seni bela diri berbeza dengan orang yang hanya pernah belajar ilmu berlawan.

“Jadi tidak salah jika mereka mahu memberi komen terhadap persembahan aksi atau silat yang dibawakan seseorang pelakon di depan lensa. Mereka tahu apa yang menyebabkan sesuatu adegan itu kaku.

“Bukan hanya lakonan sahaja perlu bagus, tapi mereka juga perlu seiring memperkemas aksi di dalam naskhah,” katanya.

Terdahulu, pelakon Ruzaidi Abdul Rahman turut menyatakan kebimbangan apabila industri seni tidak mempunyai pelapis bagi pelakon aksi.

Katanya, kebanyakan pelakon hanya mempunyai tubuh yang sasa namun tidak mempunyai kemahiran asas berlawan dan bertumbuk. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN