Anwar tidak perlu risau jika majoriti cukup - Armada 

Anwar tidak perlu risau jika majoriti cukup – Armada 

UHAMMAD Hilman ketika ditemui pemberita selepas hadir ke sidang akhbar Majlis Pengenalan Calon Armada Bersatu di sini hari ini. UTUSAN/NURUL NAJWA HASRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak gusar kedudukan tergugat jika mempunyai sokongan majoriti yang cukup di Dewan Rakyat untuk menerajui pentadbiran kerajaan Persekutuan. 

Calon Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu), Muhammad Hilman Idham berkata, Anwar seharusnya menumpukan isu pentadbiran berbanding mencabar PN berhubung usul undi tidak percaya.

“Beliau berulang kali melontar cabaran itu, pada saya jika beliau yakin mempunyai majoriti cukup, maka tidak perlu berulang kali kemuka cabaran kepada PN. 

“Beliau sepatutnya beri fokus sepenuhnya tugas sebagai PM untuk selesai isu rakyat. Hari ini masih ramai rakyat susah, tidak mendapat pembelaan disebabkan pelbagai polisi dan dasar yang tidak membantu rakyat,” katanya. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu ditemui pemberita selepas sidang akhbar Majlis Pengumuman Calon Armada Bersatu di sini hari ini.

Beliau mengulas ucapan Anwar di Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil semalam, yang mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya pada mesyuarat Dewan Rakyat dijadual bulan depan. 

Himpunan itu diadakan sebagai memperingati tarikh 20 September iaitu hari Anwar ditangkap selepas dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, 26 tahun lalu.

Perkara itu dipercayai diungkap sebagai maklum balas selepas sayap pemuda Pas membuat usul dalam muktamar parti pada minggu lalu supaya Presiden PKR itu meletak jawatan.

Terdahulu, portal berita tempatan melaporkan, Pemuda Pas dalam muktamar yang diadakan di Temerloh, minggu lalu mendesak Anwar meletak jawatan atau diturunkan dengan kadar segera.

Usul tersebut dibawa dan dibentang perwakilan Pemuda Pas kawasan Tambun, Abdul Abidi Mohd Maznan yang kemudian dibahas dan diluluskan sebulat suara.

Anwar pula yang juga Ahli Parlimen Tambun menyifatkan pembangkang ketandusan modal untuk menghentamnya, malah hanya menggunakan hal-hal lampau dan isu dirinya sebagai bekas banduan. 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin semalam dilaporkan berkata, PN hanya akan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan melalui saluran demokrasi dan ia perlu bermula dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pas hari ini pula menempelak Anwar bahawa berdepan dengan usul undi tidak percaya dalam keadaan sekarang tidak menjadikan Anwar seorang ‘anak jantan’.

Ketua Penerangan Pas Pusat juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, semua Ahli Parlimen kerajaan diikat dengan perjanjian terlebih dahulu semasa usul undi percaya dibawa ke Dewan Rakyat pada Disember 2022.

Beliau merujuk kepada usul yang dibentang oleh Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 19 Disember tahun sama. 

Ia berlangsung kira-kira tiga minggu selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan usul tersebut diluluskan secara undian suara majoriti.

Menurut Ahmad Fadhli, jika Anwar benar-benar berani dan anak jantan, beliau disaran untuk membebaskan semua Ahli Parlimen kerajaan daripada ikatan perjanjian itu. 

Ahmad Fadhli turut menzahirkan kecurigaannya jika usul tersebut dibawa.

“Boleh sahaja usul tidak percaya dibawa ke Parlimen, tetapi dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang ada, adakah ia akan dilayan dengan adil?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya