PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim terkesan dengan berita pemergian bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohd. Don malam semalam.
Perdana Menteri mendoakan kekuatan buat keluarganya atas ujian yang getir ini dan semoga ruhnya diberi keampunan oleh Allah serta rohnya diberikan tempat yang terbaik olehnya.
“Terkesan saat menerima laporan bahawa sahabat dekat saya Tan Sri Ahmad Mohd. Don telah dijemput ilahi lewat malam tadi.
“Beliau merupakan mantan Gabenor Bank Negara Malaysia dan sebelumnya Ketua Pengarah Eksekutif Maybank tahun 1991-1994.
“Mendoakan kekuatan buat keluarganya atas ujian yang getir ini dan semoga rohnya diberi keampunan oleh Allah serta rohnya diberikan tempat yang terbaik olehnya,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Menurut keluarga Allahyarham, Ahmad dibawa pulang ke rumah di Jalan Tengah, Kampung Stulang Baru, Majidee dari Kuala Lumpur pukul 8 malam tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.55 pagi.
Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di ibu kota kira-kira dua minggu yang lalu setelah mengalami masalah komplikasi jantung.
Tokoh perbankan itu merupakan Gabenor Bank Negara bermula 1994 hingga 1998. – UTUSAN