PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Vladivostok, Rusia sempena lawatan kerja dua hari termasuk menghadiri Forum Ekonomi Timur Ke-9 (EEF).
Justeru, beliau berharap kunjungan itu dapat memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
“Kunjungan ini pastinya akan membawa manfaat yang terbaik kepada Malaysia, terutamanya dalam memperkukuh kerjasama serta hubungan kedua-dua negara Malaysia dan Persekutuan Rusia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Wisma Putra sebelum ini memaklumkan, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Sesi Plenari pada EEF bagi menggalakkan pelaburan dan pembangunan ekonomi serta kerjasama antarabangsa di rantau berkenaan.
Anwar juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai platform kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai dan membincangkan hubungan dua hala.
Ini termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, Teknikal dan Vokasional Pendidikan dan Latihan (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan serta pelancongan.
Kedua-dua pemimpin akan meneroka kerjasama dalam bidang baharu seperti aeroangkasa dan teknologi lanjutan serta bertukar-tukar pandangan mengenai konflik Rusia-Ukraine dan situasi di Timur Tengah.
Anwar dan Putin dijangka membincangkan kerjasama dalam ruang lingkup hubungan Rakan Dialog ASEAN-Rusia. – UTUSAN