Anwar arah KPM beri kelonggaran sekolah dijadikan PPS, terjejas banjir

Anwar arah KPM beri kelonggaran sekolah dijadikan PPS, terjejas banjir

ANWAR Ibrahim menyantuni keluarga yang berlindung sementara di PPS SMK Agama Kedah ketika mengadakan lawatan banjir ke negeri ini di Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kelonggaran kepada sesi persekolahan di sekolah-sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan yang terjejas banjir.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, KPM boleh mengumumkan cuti tambahan kepada pelajar dan murid di sekolah-sekolah terlibat sekiranya keadaan tidak mengizinkan untuk diteruskan sesi pembelajaran dan pengajaran.

Bagaimanapun, beliau meminta agar pelajar tingkatan lima yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal menjalani sesi persekolahan seperti biasa.

“Sesi sekolah serah kepada Menteri Pendidikan, kalau terbeban dengan masalah penempatan tentunya Menteri Pendidikan akan beri kenyataan supaya memberikan sedikit kelonggaran, cuti tambahan untuk pelajar.

“Tapi saya nak tekankan, ia bukan cuti tapi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di mana kalau ada saluran saya tidak mahu masa belajar itu dijadikan cuti.

“Kalau pun tak dapat masuk sekolah, guru-guru mesti tetapkan kerja rumah dan disiapkan sebelum dibuka semula sesi persekolahan nanti,” katanya ketika ditemui selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah yang dijadikan PPS kepada mangsa banjir di sini, hari ini.

Cuti pertengahan penggal bagi negeri Kedah yang berakhir hari ini dijadual akan disambung semula esok, namun sebanyak 37 buah sekolah termasuk maahad tahfiz di enam daerah seluruh Kedah yang terlibat banjir, masih dijadikan PPS sehingga kini.

Tambah Perdana Menteri, KPM juga akan menyalurkan peruntukan berasingan kepada sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir.

“Sekolah sama ada bawah KPM atau tidak, termasuk di bawah kerajaan negeri saya sudah bincang dengan Menteri Pendidikan supaya kita salurkan peruntukan supaya sedikit sebanyak dapat tampung kerosakan dialami,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berpuas hati dengan gerak kerja semua agensi kerajaan Pusat dan negeri termasuk pasukan keselamatan di Kedah dan negeri-negeri lain yang terlibat banjir.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang berada di PPS mengambil kesempatan melakukan pemeriksaan kesihatan disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan tahap kesihatan terjaga. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN