Anugerah Tokoh Maulidul Rasul SAW acara khas sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan

Anugerah Tokoh Maulidul Rasul SAW acara khas sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menganjurkan majlis sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2024M pada Selasa depan yang akan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Menurut kenyataan Jawi, acara kemuncak pada majlis tersebut adalah pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para penerima Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1446H/2024M.

Katanya, penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul SAW diadakan sebagai salah satu bentuk pengiktirafan dan memberikan inspirasi kepada masyarakat terhadap sumbangan dan peranan bagi membangunkan syiar Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Antara anugerah yang bakal diumumkan adalah Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Individu.

“Ini termasuk Anugerah Khas Organisasi Kategori Masjid, Surau, Sekolah Rendah Agama (SRA)/Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ), Sekolah Menengah/Sekolah Menengah Agama dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya hari ini.

Bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”, majlis sambutan berkenaan akan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang dimulakan dengan aktiviti Perhimpunan Kontinjen Maulidur Rasul SAW.

Jawi berkata, ia disertai sebanyak 25 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta di Wilayah Persekutuan dengan jumlah penyertaan sekitar 600 orang.

“Para kontinjen turut menyertai beberapa pengisian yang disediakan seperti alunan zikir Asmaul Husna, Doa Dhuha, Doa Qunut Nazilah, dan alunan selawat beramai-ramai ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW.

“Majlis turut diserikan dengan penyampaian tausiyah oleh Habib Nael Ben Taher dan persembahan nasyid oleh kumpulan Angham Anisah,” katanya.

Selain majlis tersebut, pelbagai aktiviti dan program bermanfaat disusun sempena Maulidur Rasul SAW di masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan selari dengan tema itu yang menyeru umat Islam bersama-sama membangunkan negara dengan matlamat mencapai kejayaan duniawi dan ukhrawi.

Ia berpandukan contoh dan teladan Nabi Muhammad SAW dalam segenap aspek kehidupan.

Salah satu aktiviti yang dianjurkan ialah Kampong Bharu Berselawat bertempat di Masjid Jamek Kampong Bharu yang merupakan Kampung Angkat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 19 September ini selepas solat Maghrib. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN