Angkara suapan RM350, warga emas didenda RM2,000 - Utusan Malaysia

Angkara suapan RM350, warga emas didenda RM2,000

ZULKEFLI Yaakob (tengah) dikawal pegawai SPRM selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada anggota polis di Mahkamah Sesyen Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki warga emas didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah memberi rasuah kepada anggota polis, Februari lalu.

Tertuduh, Zulkefli Yaakob, 63, membuat pengakuan itu setelah pendakwaan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Hakim turut memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pilihan, dia yang tidak bekerja tetap didakwa telah memberi suapan wang tunai berjumlah RM350 kepada seorang anggota polis sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadapnya.

Zulkefli sebelum itu ditahan polis untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang tidak berkastam atau barangan larangan berupa air putih yang disyaki air law yang merupakan sejenis minuman memabukkan.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Lalang menghala ke Balai Polis Baling yang berada di dalam kawasan Kampung Bongor, Baling kira-kira pukul 1.30 petang, 11 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Terdahulu, Zulkefli yang tidak diwakili peguam merayu hukuman paling ringan kerana hanya meraih pendapatan sebagai pengutip ulam kampung dan menanggung enam adik-beradiknya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa menawarkan suapan tersebut kepada anggota polis, Wan Muhammad Naim Mustaman ketika dibawa dalam kenderaan polis menuju ke Balai Polis Baling pada hari ditangkap.

Wan Muhammad Naim berkali-kali memberi amaran kepada lelaki itu untuk tidak merasuah dia dan seorang lagi anggota polis sebelum mengambil wang itu untuk dijadikan bukti tangkapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya