SHENZHEN: Ibu jari kanan Andy Lau, 63, mengalami kecederaan selepas pelakon itu hampir terjatuh ke dalam lubang ketika membuat persembahan Isnin lalu.
Andy, yang ketika kejadian sedang menghiburkan peminat sempena konsert Today Is The Day dekat sini, berdepan detik cemas apabila kaki kirinya termasuk lubang sebelum pelakon itu terjatuh dalam keadaan meniarap.
Pelakon filem Shaolin itu terpaksa menghentikan seketika persembahannya untuk mendapatkan rawatan susulan kejadian itu.
“Ibu jari saya cedera, tapi jangan risau, okey? Saya akan berhati-hati.
“Saya cedera, tapi selepas ini saya berjanji akan lebih peka,” katanya pada konsert tersebut.
Insiden itu mengundang kritikan netizen yang rata-ratanya mempersoalkan ciri keselamatan binaan pentas untuk konsert itu.
“Lubang itu sebelum ini ditutup. Kenapa tiba-tiba ia dibuka?,” soal seorang netizen.
“Orang yang sudah berusia perlu elakkan daripada terjatuh. Andy sudah berusia walaupun dia sihat,” tulis seorang lagi netizen.