Bekas ketua kumpulan ‘Wolf Pack’ dipenjara 10 tahu

Ancam serang kuil: Bekas ketua kumpulan ‘Wolf Pack’ dipenjara 10 tahun

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas ketua kumpulan ‘Wolf Pack’, yang dikaitkan mendalangi rancangan pembunuhan empat individu berprofil tinggi dan serangan sebuah kuil di Petaling Jaya lima tahun lalu, dipenjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap lapan kesalahan berkaitan keganasan.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin mensabitkan Mahadi Mamat, 39, terhadap semua pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 61 tahun. Hukuman berkuat kuasa serentak dari tarikh tangkap pada 5 Mei 2019.

Ketika menyampaikan keputusannya, beliau berkata, mahkamah berpuas hati, tertuduh mengalami skizofrenia dan disahkan oleh keterangan saksi-saksi perubatan.

Bagaimanapun, menurut beliau, tertuduh tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan kerana gagal membuktikan dia tidak sempurna akal dari segi undang-undang (legal insanity).

Hakim Noorin berpendapat, mahkamah berpuas hati dengan keterangan Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Dr. Ian Lloyd Anthony yang merumuskan keadaan mental tertuduh yang waras ketika kejadian berlaku.

Ujar hakim bicara, pakar berkenaan membuat pemerhatian bahawa tertuduh mempunyai mental kognitif yang berfungsi dengan baik ketika melakukan kesalahan itu.

“Tindakan tertuduh yang menyembunyikan `bom paip’ dan pistol dalam tanah di kebun, jelas menunjukkan dia tahu apa yang dilakukannya dan waras ketika kesalahan berlaku.

“Mahkamah turut meneliti perbualan melalui WhatsApp di antara tertuduh dan ahli kumpulan `Sejati Sejiwa’ dan mendapati tertuduh faham dan tahu akibat perbuatannya.

“Cara tertuduh memujuk ahli-ahli dalam kumpulan itu melalui WhatsApp untuk bersama-samanya melakukan kesalahan, jelas menunjukkan dia gagal membuktikan ketidaksempurnaan akalnya,” ujar Hakim Noorin.

Bagi tuduhan pertama hingga ke tujuh, Mahadi didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Counter-Terrorism, Bahagian E8, Cawangan Khas, Bukit Aman di sini manakala tuduhan kelapan didakwa dilakukan di Kampung Teris, Hulu Terengganu, Terengganu di antara 7 Januari dan 5 Mei 2019.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mahadi didakwa mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan mengancam untuk menyerang Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya.

Tertuduh turut didakwa mengancam untuk membunuh empat individu tempatan berprofil tinggi dan kedua-dua rancangan itu dibuat melalui kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’.

Bagi pertuduhan ketiga, Mahadi didakwa memberi latihan penggunaan senjata api kepada anggota kumpulan ‘Sejati Sejiwa’ sebagai persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas manakala pertuduhan keempat memberi arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada anggota kumpulan itu.

Pertuduhan kelima dan keenam, Mahadi didakwa mendapatkan enam butir ‘bom paip’ dan sepucuk pistol semi-automatik CZ 75 B serta 15 butir peluru jenis ‘Luger 9mm’ untuk melaksanakan keganasan.

Bagi kesalahan ketujuh, lelaki itu didakwa merekrut beberapa individu menyertai kumpulan ‘Sejati Sejiwa’ untuk melakukan perbuatan keganasan manakala pertuduhan kelapan, Mahadi didakwa memiliki item-item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dan perbuatan keganasan di dalam sebuah telefon bimbit.

Terdahulu, peguam Farida Mohammad berhujah, anak guamnya yang sebelum ini bekerja di kebun kelapa sawit, menghidap skizofrenia dan masih menerima rawatan hingga kini.

Beliau yang berhujah, keterangan kes tidak menunjukkan berlaku kecederaan fizikal atau kerosakan harta benda akibat tindakan tertuduh.

“Tiada fakta menunjukkan tertuduh menyertai atau menjadi ahli kumpulan pengganas atau direkrut oleh entiti pengganas mahupun keluar negara menyertai kumpulan pengganas,” ujar beliau yang hadir bersama-sama peguam Khairul Naim Rafidi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim berhujah, kesalahan tersebut serius kerana tertuduh juga didapati memperoleh sepucuk pistol dan enam butir `bom paip’ hasil tunjuk arah lelaki itu sendiri.

Pada 29 Mei 2019, Mahadi didakwa atas lapan pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN