SABAK BERNAM: Banci Pertanian 2024 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini mencapai 86.2 peratus sehingga semalam apabila 1.02 juta daripada 1.18 kediaman pertanian di seluruh negara dilawati.
Turut termasuk dalam peratusan tersebut adalah lawatan pegawai bancian ke syarikat atau pertubuhan pada kadar 85.7 peratus iaitu sebanyak 16,920 daripada 19,753 entitti perusahaan sudah dilawati.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, proses bancian tersebut kini memasuki hari ke-77 sejak dilancarkan pada 7 Julai lalu dan ia akan berakhir pada 10 Oktober ini.
“Laporan penuh bancian dijangka dibentangkan kepada umum seawal suku pertama atau kedua. Namun, analisis awal dijangka dikeluarkan pada hujung tahun ini, namun bergantung kepada maklumbalas daripada agensi, jabatan dan semua pihak yang terlibat.
“Tempoh berbaki 18 hari adalah sangat signifikan untuk melengkapkan proses pengumpulan data di peringkat huluan yang merangkumi sektor tanaman, ternakan, perikanan, tangkapan dan akuakultur serta perhutanan dan pembalakan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Pertubuhan Global Goodway (Malaysia) Sdn. Bhd., hari ini.
Tambahnya di Selangor, operasi banci pertanian mencapai 83.4 peratus daripada 67,727 tempat kediaman dan 2,071 pertubuhan yang berpotensi menjalankan pertanian yang mana sebanyak 56,197 tempat kediaman pertanian (83 peratus) dan 1,659 pertubuhan pertanian (80.1 peratus) dilawati.
Pencapaian paling tinggi disumbangkan oleh daerah Hulu Selangor dan Hulu Langat apabila mendapat kerjasama dan komitmen penuh daripada semua pihak terutama pengusaha dan agensi tempatan.
Banci Pertanian yang dijalankan DOSM menyediakan data asas tentang profil pegangan pertanian seperti maklumat demografi, hasil pertanian, kos input, saiz ladang, penggunaan dan pemilikan tanah, mekanisasi serta penggunaan teknologi.
Ia dapat digunakan untuk merangka dasar dan program jangka pendek dan jangka panjang serta untuk meningkatkan keterjaminan makanan, produktiviti serta mempromosikan pertanian mampan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu maklumat awal bancian dibuat mendapati banyak ruang dan peluang untuk meningkatkan produktiviti pertanian termasuk mengenal pasti kaedah mengurangkan kebergantungan sumber makanan import.
“Teknologi digunakan secara betul dan kos purata rendah (dikurangkan) akhirnya harga pasaran dapat dikurangkan, pengguna mendapat manfaatnya.
“Selain itu, kita juga mengenal pasti kelemahan-kelemahan dalam produktiviti pertanian seperti tanah warisan keluarga yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan tersebut berikutan pemilik atau pewarisnya mempunyai pendapatan lain seperti bekerja dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN