Anak nafi ibu bakar buku ajaran Abuya

Anak nafi ibu bakar buku ajaran Abuya

ANAK kepada isteri kedua CEO GISBH menutup pagar rumah selepas ditemui pemberita di Kampung Panji, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Salah seorang anak kepada isteri kedua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) menafikan dakwaan bahawa ibunya yang menanam dan membakar buku-buku ajaran Abuya yang dijumpai polis di tepi Sungai Pengkalan Datu berhampiran rumah keluarganya di Kampung Panji, di sini semalam.

Wanita berusia 29 tahun itu berkata, buku-buku tersebut dipercayai milik ibu saudaranya yang merupakan pengikut ajaran dan pemimpin Al-Arqam itu.

Menurutnya, dia yang merupakan anak kelima daripada sembilan beradik kini tinggal di Kuantan, Pahang terkejut apabila rumah ibunya yang merupakan isteri kedua CEO syarikat itu diserbu polis malam kelmarin. 

“Saya sangat sedih kerana ramai pihak menuduh ibu dan keluarga kami yang tanam dan bakar buku-buku Abuya di tepi sungai. Buku-buku itu milik ibu saudara saya yang merupakan pengikut pengikut tegar Al-Arqam.

“Ibu saya ketika ini tidak sihat kerana menghidap darah tinggi. Dia terkejut apabila kediaman kami sekeluarga diserbu polis,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya di Kampung Panji, di sini hari ini.

Wanita itu memberitahu, ibunya menetap di rumah tersebut sejak lebih 30 tahun lalu dan sering berulang-alik ke Kuantan untuk berjumpa dengan ayahnya.

Katanya, dia yang baru sampai di rumah ibu bersama abang dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire terkejut apabila tiba di rumah ibunya kira-kira pukul 11.30 malam.

“Saya difahamkan polis mengekori kenderaan yang dipandu abang dari Kuantan lagi sebelum mereka menyerbu rumah ibu.

“Saya tidak sempat berehat semasa sampai kerana tiba-tiba diserbu polis. Semua barangan termasuk telefon bimbit turut dirampas. Seramai 30 ahli keluarga kami termasuk ibu saudara yang tinggal berdekatan turut dibawa menaiki van polis,” ujarnya.

Wanita itu berkata, dia seluruh ahli keluarganya dibebaskan kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Katanya, dia bersama empat anak termasuk bayi berusia enam bulan diberi layanan yang baik termasuk diberi makan minum semasa diambil keterangan di Pusat Sumber Pendidikan Negeri Kelantan, Pengkalan Chepa di sini.

Utusan Online semalam melaporkan, taktik pengikut Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISBH) membakar dan menanam buku di tepi sungai di Kampung Panji di sini bagi mengaburi mata pihak berkuasa terbongkar selepas diserbu polis pagi tadi.

Serbuan pukul 7 pagi yang disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheik) itu mendapati buku jenis tebal dan besar itu ditanam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Selain itu, sebahagian lagi buku dilihat sudah dibakar dan keadaan lokasi masih berbau asap.

Tindakan tersebut dipercayai dilakukan selepas Pegawai Eksekutif GISBH ditahan polis kelmarin.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN