KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, memaklumkan tidak pernah membabitkan anak-anak dalam hal peribadi beliau dan suami, Dr. Rushdi Ramli.
Malah, meskipun tahu tentang kebenaran disebalik kemelut yang menimpa perkahwinannya sebelum ini, anak-anaknya iaitu Putri Nor Dahlia, Mohd. Syakir Iman dan Putri Nor Fathehah tetap memilih untuk tidak mencampuri urusan Nora dan suami.
“Mereka lebih suka untuk tidak mencampuri urusan peribadi ibu dan ayah walaupun mereka tahu keadaan sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nora sekitar Ogos lepas mengejutkan ramai pihak apabila mengesahkan sudah diceraikan suaminya.
Pengesahan itu dibuat menerusi sebuah video yang dikongsikan penyanyi tersebut di Instagram.
Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin bagaimanapun baru-baru ini memaklumkan sudah rujuk semula dengan Rushdi selepas satu bulan diceraikan.
Sementara itu, penyanyi berusia 51 tahun itu berharap segala penjelasan terkini yang diberikannya mengenai perkahwinan beliau dapat menjernihkan keadaan dan menghentikan segala spekulasi yang berlegar di media sosial.
“Tiada benci, kami sentiasa bahagia. Kalau boleh saya minta biarlah artikel yang ditulis menjernihkan keadaan, bukan mengeruhkan lagi isu ini,” kongsinya.