PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri Johor perlu diwujudkan bagi mengekalkan momentum perpaduan dan sokongan rakyat selepas meraih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, semalam.
Ketua Pemuda Amanah Nasional (Amanah), Hasbie Muda berkata, pihaknya mengharap langkah seterusnya selepas berjaya mengalahkan Perikatan Nasional (PN) di DUN Mahkota adalah mewujudkan Kerajaan Perpaduan selari dengan Persekutuan di Johor.
“Kemenangan ini tidak terhasil begitu sahaja, ia adalah usaha keras semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya menyaksikan kesungguhan jentera pilihan raya dan kempen Pakatan Harapan (PH) terutamanya Amanah yang turun dari seluruh negara bergilir-gilir memastikan mesej perpaduan sampai ke seramai mungkin pengundi di Mahkota,” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bukan sahaja mempertahankan kerusi DUN Mahkota, malah menang dengan majoriti besar.
Setelah proses penjumlahan undi melibatkan 121 saluran di 20 pusat pengundian selesai, Syed Hussien yang menang di semua pusat pengundian mendapat 27,995 undi, sekali gus menang dengan majoriti 20,648 undi.
Sementara itu, Hasbie menyifatkan kemenangan di Mahkota adalah satu mesej jelas bahawa rakyat menolak politik fitnah dan adu domba yang dibawa oleh PN.
Jelasnya, ia turut menandakan penerimaan berterusan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memimpin Kerajaan Perpaduan.
“Tahniah diucapkan kepada Syed Hussien yang mencatat kemenangan bergaya di DUN Mahkota semalam mewakili BN,” ujarnya. – UTUSAN