PETALING JAYA: Pelakon , Nur Fazura kini dilihat semakin kerap berkongsi petikan kata-kata Islamik menerusi ruangan platform media sosial miliknya, sejak kebelakangan ini.
Terbaharu, Fazura memuat naik petikan Islamik menerusi ruangan Instagram Story yang menjelaskan kebaikan di sebalik sesuatu perkara yang dikurniakan oleh Sang Pencipta sama ada cepat atau lambat.
“Allah tak menyegerakan sesuatu kecuali itu yang baik dan tidak pula melambat-lambatkan sesuatu kecuali itu yang terbaik,” kongsinya.
Dalam perkongsian lain, Fazura turut berkongsi petikan yang menggambarkan keadilan-Nya dalam memberikan rezeki dan hasil kepada setiap makhluk-Nya.
“Jangan takut sama hasil, Allah itu adil,” tulisnya.
Sebelum ini, timbul dakwaan rumah tangga pelakon filem Pisau Cukur itu bersama suaminya, Fattah Amin sedang dilanda badai kerana orang ketiga.
Susulan itu, Fazura dilihat kerap berkongsi petikan Islamik dan kata-kata motivasi seolah-olah sedang mengumpul semangat buat diri sendiri sekaligus mencetus tanda tanya.
Selain petikan Islamik, Fazura yang sebelum ini menegaskan status rumah tangganya bersama Fattah baik-baik sahaja juga kerap berkongsi tentang perihal kerjayanya dan isu semasa yang berlaku di Palestin.
Pasangan itu bagaimanapun kelihatan selesa mengunci mulut dan tidak memberikan sebarang respons terhadap spekulasi yang tercetus.
Namun, sesetengah netizen turut meluahkan rasa kurang senang apabila melihat gelagat Fattah yang terus membisu dan tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Untuk info, Fazura dan Fattah telah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisha. -UTUSAN