PETALING JAYA: Status rumah tangga pelakon, Nur Fazura, dengan suami, Fattah Amin menjadi teka-teki apabila petikan yang dikongsikan di Instagram terus mengundang spekulasi.
Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, hari ini berkongsi kata-kata menggambarkan tiada siapa yang lebih mengenalnya selain dirinya sendiri.
“Satu kebenaran yang pahit. Di akhirnya, anda sedar bahawa anda hanya ada diri sendiri. Tiada siapa yang akan datang dan menyelamatkan anda. Tiada siapa yang boleh memahami anda sedalam diri anda sendiri.
“Tiada siapa yang boleh memberi semangat seperti diri anda, tiada siapa yang boleh bersama anda setiap masa dan tiada siapa yang boleh menyelamatkan anda dari fikiran yang memberatkan selain diri anda sendiri,” kongsinya.
Bukan itu sahaja, menerusi hantaran yang sama, pelakon Pisau Cukur itu turut menulis kapsyen pendek dengan tanda pagar cinta sejati.
“Kamu dan Allah, cinta sejati,” tulisnya dengan emoji berbentuk hati berwarna putih.
Manakala dalam hantaran berbeza, ibu kepada seorang anak itu turut berkongsi kata-kata berkenaan keindahan sabar.
“Jawapannya ialah sabar. Sentiasa sabar,” kongsinya lagi.
Terdahulu, perkongsian Fazura secara rawak berkenaan beberapa momen kesukaanya sepanjang bulan Ogos di laman Instagram mencuri perhatian.
Dalam hantaran tersebut, Fazura memuat naik babak daripada filem Crazy Rich Asians menunjukkan watak Astrid Leong lakonan Gemma Chan yang akhirnya membuat keputusan untuk berpisah dengan suaminya, Michael Teo.
Sebelum ini, rumah tangga kedua-dua pasangan itu dikatakan sedang bergolak apabila Fazura sudah tidak lagi memuat naik gambar suami, Fattah Amin di laman Instagram.
Untuk rekod, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan dikurniakan seorang anak, Fatima Aisya, 4. -UTUSAN