“Allah buka hati dia”

“Allah buka hati dia”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Benarlah bak kata pepatah, air yang dicincang, tidak akan putus. Sinonim dengan kisah keluarga penerbit Datuk Yusof Haslam yang menantikan kepulangan anak sulungnya, Syamsul yang juga seorang pengarah.

Selepas lima tahun tidak bersua muka, Yusof tetap menerima kepulangan anaknya itu dengan hati yang terbuka biarpun sudah beberapa tahun mengajar diri untuk reda dengan takdir.

Kelmarin, isteri penerbit itu, Datin Fatimah Ismail berkongsi rasa bersyukur dengan memuat naik foto mereka bersama Syamsul yang sudah lama tidak pulang ke kediaman orang tuanya menerusi sebuah hantaran di media sosial.

Ingin membuka lembaran baharu, Yusof yang tidak mampu menahan sebak mengakui rindu akan sosok anaknya yang kini sudah pun menginjak usia 40 tahun itu bahkan sudah berlapang dada dengan setiap perkara yang berlaku.

Kata Yusof, dia amat menantikan momen indah ini sekali gus mahu meleraikan segala krisis yang berlaku dalam keluarganya sebelum dia menutup mata.

“Saya beritahu pada dia, saya sebagai ayah, saya tetap rindukan dia. Begitu juga dengan ibu dia. Yang lepas, biarlah lepas. Janji, jangan simpan dalam hati apatah lagi dia anak kami.

“Di usia sebegini, saya hanya mahu menjaga keharmonian keluarga sahaja. Pada saya, krisis keluarga itu bukanlah perkara yang bagus. Kami sebagai orang tua yang sudah di penghujung usia, kami nak segala-galanya baik, berdamai, tiada simpan dalam hati,” jelasnya.

Jelas pengarah filem pecah panggung itu, kepulangan Syamsul juga tidak didesak oleh sesiapa malah dia bersyukur kerana doanya yang mengharapkan kepulangan anaknya itu sudah dimakbulkan.

“Kami sudah lama tidak pujuk dia. Kami hanya berdoa dan berserah. Dia sebagai anak, dia kena selalu bertanggungjawab. Dia hampakan kami pun sudah bertahun-tahun. Saya hanya reda sebab itu takdir Allah.

“Tapi Alhamdulillah, Allah sudah buka hati dia untuk balik. Itu pun yang kami mahukan. Saya bersyukur sangat,” katanya.

Soal jodoh Syamsul, terserah kepada dia
Kepulangan Syamsul turut disaksikan oleh bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana yang juga merupakan seorang pelakon.

Menurut Yusof, keberadaan Sarah di kediaman tersebut untuk mempertemukan anak-anaknya, Syaikhul Islam dan Sumayyah dengan bapa mereka, Syamsul.

Enggan mencetuskan sebarang spekulasi, Yusof turut menjelaskan Sarah dan Syamsul datang secara berasingan.

Pengarah filem Maria Mariana itu juga menegaskan dia enggan masuk campur soal jodoh anak dan bekas menantunya kerana tidak mahu pisang berbuah, dua kali.

Yusof sebagai seorang bapa menyatakan dia hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk jodoh anak lelakinya.

“Soal jodoh dia, dengan sesiapa pun kami tidak boleh pertikaikan. Itu hak dia, kami keluarga tidak mahu masuk campur. Bagi saya, tidak adil kalau kami jodohkan dia dengan sesiapa, akhirnya berlaku lagi perceraian, kita tidak tahu kan.

“Kami juga tidak suruh dia balik semula dengan Puteri Sarah ke atau pun dengan sesiapa. Kami serahkan kepada Syamsul untuk membuat keputusan walaupun dia mahu terus membujang. Kami tak pernah paksa. Dia dah dewasa, sudah boleh fikir mana yang baik dan buruk.

“Terserah kepada mereka berdua untuk berbaik semula, kami tak campur. Itu prinsip saya dan datin. Kami tidak mahu dipersalahkan di kemudian hari. Jadi, kita doakan yang baik-baik sahaja. Siapa pun pilihan dia, kami reda,” jelasnya.

Hikmah atau Ujian?
Usai penantian itu, Yusof kini sudah boleh bernafas dengan lega dan menganggap setiap kisah pahit mahupun manis yang berlaku terhadap keluarga mereka mempunyai hikmah di sebaliknya.

“Harapan saya supaya apa yang berlaku ada hikmah dia. Jadi, kepada Syamsul, saya sebagai orang tua saya doakan yang terbaik untuk dia. Saya cakap pada dia apa yang berlaku itu adalah ujian kehidupan.

“Setiap manusia lakukan kesilapan dalam kehidupan. Jadikan ia satu ujian. Kita lalui dengan tenang dan kembali ke pangkal jalan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya