Alif, isteri dibenarkan diikat jamin RM100,000 - Utusan Malaysia

Alif, isteri dibenarkan diikat jamin RM100,000

Alif Teega
ALIF Teega dan Aisyah Hijanah tiba di luar Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhannya berkaitan salah guna duit derma, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pempengaruh media sosial, Alif Teega dan isteri, Aisyah Hijanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan salah guna dana awam.

Dalam prosiding berkenaan, pasangan itu yang nama sebenar masing-masing Mohd. Hazalif Mohd. Hazani dan Aisyah Hijanah Azhari membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka.

“Saya faham dan mohon untuk dibicarakan,” kata Alif dan Aisyah.

Alif, 30, dan Aisyah, 26, berdepan pertuduhan menyalahgunakan wang derma lebih RM1.5 juta secara berperingkat bagi tujuan projek infaq kurma; infaq Al-Quran di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Al-Nabawi, Madinah; infaq pek makanan bagi fakir miskin di Mekah dan Madinah; infaq bantuan dan sedekah set pakaian untuk mangsa banjir, sedekah set pakaian raya untuk anak-anak yatim serta sedekah ibadah korban di Mekah.

Jumlah paling besar didakwa di salah guna adalah RM425,890.64 iaitu bagi tujuan infaq bantuan mangsa banjir sementara paling rendah pula adalah RM438.38 iaitu bantuan set pakaian muslimah untuk bantuan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara Mei 2021 hingga Julai lalu dekat dua cawangan bank berbeza di sekitar di Bandar Baru Bangi, Hulu Langat.

Justeru, kedua-dua pasangan itu dituduh di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Sama dan sabit kesalahan mereka boleh dipenjara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh kemudian mencadangkan supaya setiap tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM50,000 serta syarat tambahan seperti melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

“Bagaimanapun, untuk makluman yang arif, tertuduh pertama (Alif) berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 September lalu dan dia sudah pun menyerahkan pasportnya kepada mahkamah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Mohd. Shahrullah Khan yang mewakili Alif dan Aisyah memberitahu kedua-dua anak guamnya bersetuju dengan jumlah jaminan ditawarkan kepada mereka selain menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama bagi menghadiri perbicaraan.

“Tawaran jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah. Untuk makluman yang arif, kedua-dua tertuduh juga sebelum ini memberikan kerjasama baik kepada SPRM termasuk tertuduh pertama yang memberi kerjasama penuh kepada mahkamah Kuala Lumpur,” ujarnya.

Kemudian, Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud berkata, mahkamah bersetuju dengan tawaran jaminan dan syarat tambahan lapor diri di SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan seperti mana diarahkan oleh mahkamah Kuala Lumpur.

“Jaminan sebanyak RM50,000 dibenarkan kepada setiap tertuduh serta syarat tambahan, bagaimanapun saya memerintahkan kedua-dua tertuduh tidak boleh mengganggu saksi sepanjang perbicaraan berjalan.

“Selain itu, bagi tertuduh pertama yang sudah menyerahkan pasport di mahkamah Kuala Lumpur, kalau gugur atau dipindahkan ke mahkamah ini, saya akan keluarkan arahan supaya pasportnya diserahkan kepada mahkamah ini,” jelasnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula dan pengurusan kes.

Alif sebelum ini dilaporkan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menyalahguna dana awam lebih RM63,000 menerusi dua program infaq pada April dan Jun lalu.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Azura Alwi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya