Akta sedia ada cukup hukum pihak zalimi kanak-kanak - Utusan Malaysia

Akta sedia ada cukup hukum pihak zalimi kanak-kanak

Akta kanak-kanak
JOHARI Abdul bergambar bersama ahli panel dalam Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada keperluan meminda atau mewujudkan akta baharu bagi mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana pihak yang melakukan penganiayaan serta menafikan hak terhadap kanak-kanak.

Yang Dipertua Dewa Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, peruntukan undang-undang sedia ada khususnya melibatkan Akta Kanak-Kanak 2001 dilihat mencukupi untuk menghukum pihak yang melakukan kesalahan mengikut akta tersebut.

“Banyak peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap mereka kerana selain mengutip derma dan mendera kanak-kanak, syarikat ini juga dilihat gagal mendaftar individu yang bekerja di syarikat mereka sebagai pekerja selain gagal membayar gaji.

“Rasa (eksploitasi) itu lebih parah lagi. Saya rasa Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai strategi mereka untuk pastikan keadilan tercapai,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan 24 pemimpin syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) termasuk Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali telah berjaya ditahan polis dalam dua serbuan di Kuala Lumpur dan Bukit Kayu Hitam, Kedah pada semalam (Khamis) dan Rabu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis kini menyiasat kesemua mereka di bawah Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) (Pindaan) 2022.

Dalam pada itu, Johari turut menyentuh penganjuran konvensyen tersebut yang disifatkannya sebagai peluang kepada orang ramai mengetahui susur galur kisah serta peristiwa penting yang berlaku sehingga terbentuknya Malaysia ketika ini.

“Murid sekolah juga perlu dijemput hadir ke konvensyen ini supaya mereka belajar kisah dalam negara serta wira yang memperjuangkan diri mereka untuk memastikan negara mencapai kemerdekaan.

“Justeru, saya mencadangkan kepada Jabatan Arkib Negara untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjemput sejumlah sekolah untuk menghadiri konvensyen ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN