Akta khusus tangani unsur keganasan dari luar negara - Anwar

Akta khusus tangani unsur keganasan dari luar negara – Anwar

ANWAR Ibrahim ketika gimik peluncuran pelan tindakan Malaysia bagi mencegah dan menangani fahaman pelampau keganasan 2024-2028 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan terdapat keperluan untuk negara memiliki akta keselamatan negara yang khusus bagi memerangi unsur-unsur dan pengaruh keganasan dari luar negara.

Perdana Menteri berkata, akta itu penting bagi menjamin keselamatan dalam negara terutama daripada unsur, pengaruh luar serta antarabangsa.

“Saya serah kepada kebijaksanaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta badan penguatkuasaan lain sekiranya ada elemen-elemen yang harus dimasukkan yang belum cukup kuat dalam undang-undang negara.

“Saya pasti tentunya (keperluan mewujudkan akta) akan disergah tapi Insya-Allah kita akan pertahankan kerana kita mahu lebih matang sebagai satu demokrasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE), di sini hari ini.

Anwar menegaskan, kerajaan tidak sekali-kali akan mengizinkan negara menjadi gelanggang kepada puak yang melampau.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, hubungan Malaysia dengan Hamas sebagai contoh adalah berbentuk kerjasama politik.

Katanya, ia (kerjasama politik dengan Hamas) sebahagian usaha Malaysia sebagai sebuah negara kecil dalam menjalin hubungan antarabangsa dengan semua pihak.

“Kita cuba elak daripada terlibat dalam mana-mana perseteruan yang melibatkan senjata.

“Bagaimanapun, ia (kerjasama) tidak melepaskan kita daripada tanggungjawab menyokong apa yang kita anggap sebagai hak dan menolak kebatilan,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan menyokong dengan jelas fokus dan percubaan untuk memastikan wujud kerjasama berkesan antara negara-negara ASEAN apabila beliau memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan.

“Saya pasti akan memberikan pengesahan ini bahawa perlu ada kerjasama yang lebih baik antara negara-negara di dalam ASEAN untuk memastikan kita menangani isu-isu tersebut,” katanya.

Terdahulu, Anwar melancarkan MyPCVE iaitu pelan tindakan khusus bagi mencegah dan menangani fahaman pelampau keganasan.

Pelan tindakan ini mengandungi empat teras utama iaitu pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan pengukuhan di mana setiap teras mempunyai fokus strategik yang menggariskan inisiatif untuk dilaksanakan oleh semua pihak.

Keempat-empat teras MyPCVE menggunakan pendekatan bersepadu yang menggabungkan ‘soft approach’ (pendekatan lembut) dan ‘hard appproach’ (pendekatan keras). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya