GEORGE TOWN: Pesalah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang akan dikuatkuasakan 1 Oktober ini perlu dihukum secara tegas, bukan lagi diberikan amaran atau kompaun.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow berkata, Akta 852 pasti akan menyelamatkan berjuta-juta nyawa anak muda yang ketagih merokok, vape, e-rokok dan akhirnya terjerumus dengan dadah berbahaya.
”CAP menyokong penuh Akta 852. Akta baharu ini mestilah dikuatkuasakan dengan sepenuhnya.
“Tidak lagi hanya dengan memberi amaran atau kompaun tetapi terus kepada tindakan tegas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan dikuatkuasakan bermula Selasa ini kepada mereka yang terlibat dengan rokok, vape atau e-rokok (rokok elektronik).
Perkembangan itu dikongsikan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran di Facebook, hari ini di mana akta itu merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam.
Peraturan dan perintah yang bakal dikuatkuasakan termasuk e-rokok.
Mengulas lanjut, Subbarow berkata, Akta 852 yang akan dikuatkuasakan itu bukan sahaja boleh menyelamatkan nyawa manusia tetapi juga dapat menyelamatkan alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, isu lain perlu diberi perhatian ialah penggunaan vape dan e-rokok di zon larangan merokok.
“Pada masa ini, tiada tindakan terhadap penghisap vape di zon larangan merokok. Oleh itu, tanda amaran di zon larangan merokok untuk penggunaan vape dan e-rokok mesti diletakkan.
“Ini termasuk perhentian bas, pusat beli-belah, tempat awam, tempat perhimpunan awam dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, selain itu kanak-kanak juga tidak dibenarkan untuk memegang atau membeli apa-apa jenis produk tembakau. – UTUSAN