PETALING JAYA: Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) dijangka dikuatkuasakan dengan mengenakan syarat lebih ketat terhadap peniaga rokok dan vape termasuk larangan mempamerkan produk tersebut secara terbuka di premis perniagaan.
Itu antara syarat yang perlu dipatuhi peniaga rokok dan vape berdasarkan Taklimat Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang diadakan di Putrajaya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.
Taklimat antara KKM dengan pemain industri produk tembakau dan vape itu dilakukan dipercayai untuk memberikan penerangan serta penjelasan lanjut berhubung akta baharu itu sebelum ia dikuatkuasakan dalam masa terdekat ini.
Antara perkara yang dibincangkan dalam taklimat tersebut adalah penggunaan kabinet tertutup di premis perniagaan yang menjual rokok dan vape dengan tujuan supaya produk tersebut tidak dipamerkan secara terbuka berbanding sekarang.
Bagaimanapun, bagi menunjukkan bahawa premis tersebut ada menjual rokok dan vape, peniaga dibenarkan meletakkan notis ‘Rokok ada dijual di sini’ atau ‘Vape ada dijual di sini atau ‘Rokok dan Vape ada dijual di sini’ di hadapan kabinet tersebut dengan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi.
Garis panduan itu termasuklah menggunakan notis berlatar belakangkan warna putih bertulisan hitam dengan font Arial bersaiz maksimum tidak melebihi 150.
Seterusnya, peniaga juga dibenarkan menampal notis produk rokok serta harga jualan juga dengan garis panduan sama namun saiz maksimum dibenarkan adalah 50 sahaja.
Bagaimanapun, KKM melarang peniaga menyediakan katalog produk rokok dan meletakkan gambar produk rokok pada senarai notis.
Pada masa sama, peniaga juga perlu menyediakan notis khusus di kabinet tersebut iaitu dengan menampakkan tanda larangan jualan kepada Orang Belum Dewasa (OBD) iaitu individu berusia di bawah 18 tahun.
Semua syarat itu terpakai di premis perniagaan yang menjual produk rokok dan vape membabitkan kedai serbaneka.
Bagi kedai khas menjual rokok dan vape pula, produk mereka dibenarkan dipamerkan di dalam kedai tetapi barangan tersebut tidak boleh dilihat dengan jelas dari luar premis dan wajib menampal notis larangan jualan kepada OBD di pintu masuk.
Dalam Akta 852 yang diluluskan di Parlimen pada Disember 2023 itu, pembungkusan rokok juga perlu menepati garis panduan iaitu dengan meletakkan enam amaran kesihatan bergambar, maklumat kesihatan dan hanya 20 batang bagi setiap kotak.
Akta itu juga menggariskan larangan penjualan rokok dan vape melalui dalam talian ke atas semua platform bagi mengelakkan ia dibeli oleh OBD.
Selain itu, produk rokok dan vape juga dilarang dijual melalui mesin vending dan tidak boleh dijual di kawasan institusi pendidikan atau institusi pengajian tinggi (IPT).
Akhir sekali, produk rokok dan vape juga dilarang dijual di pasar jualan atau mana-mana pasar jualan bersifat sementara seperti Uptown, Downtown, pasar malam dan sebagainya.
Akta 852 yang diwartakan pada Februari lalu sehingga kini masih belum dikuatkuaskan walaupun pada mulanya diumumkan akan dilaksanakan pada Jun dan kemudiannya ditangguhkan pada Ogos.
Bagaimanapun, pada 24 Ogos lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan Akta 852 masih belum dilaksanakan bagi mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang masih di fasa akhir sebelum ia dikuatkuasakan. –UTUSAN