Akta 852 bakal kurangkan pencemaran rokok, atasi isu kesihatan

Akta 852 bakal kurangkan pencemaran rokok, atasi isu kesihatan

TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berucap semasa Majlis Perasmian Persidangan National Environmental Health Action Plan (NEHAP) 2024 di Hotel Corus Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Kawalan Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) mulai bulan depan diharap memberi impak positif dalam usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar dan kesihatan awam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, akta ini meliputi kawalan terhadap aktiviti merokok, termasuk puntung rokok, rokok itu sendiri, serta produk vape yang semakin popular terutama dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa Akta 852 bukan sahaja memperluaskan kawasan larangan merokok, namun turut menumpukan kepada kesan pencemaran akibat pembuangan puntung rokok dan peralatan vape secara tidak bertanggungjawab.

“Rokok mengandungi lebih 7,000 bahan kimia, dan pembuangan puntung rokok terus menjadi masalah utama pencemaran udara dan tanah.

“Pada masa sama, penggunaan peranti vape dan botol cecair vape itu sendiri akan menimbulkan cabaran baharu kepada alam sekitar,” kata beliau selepas Majlis Perasmian Persidangan National Environmental Health Action Plan (NEHAP) kali ke-10 di Corus Hotel, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Kesihatan mengumumkan melalui media sosial bahawa Akta 852, peraturan dan perintahnya akan dikuatkuasakan bermula 1 Oktober ini.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, kesedaran awam mengenai impak negatif puntung rokok dan vape perlu dipertingkatkan.

“Walaupun penguatkuasaan Akta 852 ini penting, literasi awam adalah kunci untuk memastikan pencemaran alam sekitar dapat dikurangkan.

“Masyarakat harus menggunakan platform media sosial seperti TikTok untuk menyebarkan kesedaran mengenai kesihatan alam sekitar,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, KKM mengakui bahawa jaminan sepenuhnya terhadap pengurangan pencemaran alam sekitar sukar.

Namun, dengan penguatkuasaan undang-undang dan pendidikan awam yang berterusan, pihaknya yakin usaha ini mampu mengurangkan prevalensi merokok dan pencemaran dalam jangka masa panjang.

“Kami juga akan membincangkan cabaran akibat peningkatan penggunaan vape, khususnya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, serta kesan pembuangan sampah rokok yang masih berleluasa.

“KKM berharap akta ini dapat mengurangkan tabiat negatif tersebut dan melindungi kesihatan masyarakat tanpa perlu menekan mereka secara berlebihan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN