KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aisha Retno, 24, memaklumkan buat masa ini selesa menguruskan kerjaya seninya sendiri tanpa terikat dengan mana-mana label.
Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata, langkah itu membolehkan dia mengawal sepenuhnya dan menentukan hala tuju perjalanan kerjaya seninya.
“Untuk makluman, kerjaya seni saya kini diuruskan saya sendiri dibawah Aisha Retno Entertainment. Keputusan ini dibuat selepas lagu Ketipak Ketipung Raya sekitar enam bulan lepas.
“Saya tidak ada masalah untuk bergerak sendiri. Malah rakan media sentiasa memberikan sokongan. Yang penting, tindakan ini membolehkan saya lebih kedepan untuk kerja seni saya,” katanya.
Aisha berkata demikian sewaktu pelancaran lagu Samudera di ibu negara, baru-baru ini.
Aisha dalam pada itu tidak menafikan impak yang diterima ketika bernaung di bawah syarikat pengurusan sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, atas sebab tertentu, dia mengambil keputusan untuk tidak lagi terikat dengan mana-mana syarikat pengurusan dan bergerak bebas dalam membawa hala tuju karier nyanyiannya selepas ini.
“Keduanya, bernaung dibawah syarikat pengurusan atau uruskan sendiri, memberi impak kepada karier saya.
“Mungkin dulu saya masih tercari-cari hala tuju, justeru saya perlukan bimbingan. Sekarang saya masih perlukan perkara itu (bimbingan), tetapi bagi hal-hal tertentu sahaja.
“Insya-Allah, semuanya berjalan lancar. Memang ada kebimbangan, lebih-lebih lagi daripada aspek kewangan. Tetapi saya teruja untuk uruskan semua sendiri,” kongsinya.