Air pasang: Jalan utama Pelabuhan Klang, jeti tenggelam - Utusan Malaysia

Air pasang: Jalan utama Pelabuhan Klang, jeti tenggelam

Air pasang
TERMINAL penumpang dekat Jeti Pulau Ketam dilimpahi air laut pasang besar, di Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Fenomena air laut pasang besar hari ini menyebabkan jalan utama di sekitar Pelabuhan Klang dan Jeti Pulau Ketam tenggelam.

Limpahan air bermula 6.30 pagi tadi dan mengalir ke Stesen Komuter Pelabuhan Klang yang terletak kira-kira 100 meter dari Jeti Pulau Ketam.

Seorang petugas di jeti tersebut, Muhammad Haikal, 20, berkata air pasang hari ini merupakan hari kedua dengan ketinggian dilaporkan mencecah 5.8 meter.

“Semalam naik dan juga melimpah sehingga ke jalan raya, tetapi ketinggiannya cuma 5.7 meter. Hari ini naik lebih tinggi sehingga pukul 7.30 dan mula surut pada pukul 8.

“Bagaimanapun operasi feri bagi perjalanan ke Pulau Ketam tetap berjalan seperti biasa,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang peniaga kedai makan, Anisha, 60, memaklumkan perniagaannya bermula lewat apabila limpahan air masuk premisnya.

“Tak boleh buka kedai hari ini, semalam masih boleh. Kita tunggu air surut dulu mungkin dalam pukul 8 atau 9 sudah boleh buka. Terpaksalah buat macam itu sebab bekalan elektrik pun ditutup.

“Lagi pun hari ini air naik lebih tinggi sampai ular berbisa pun muncul, mujur sempat tangkap. Air pasang biasa berlaku, cuma parasnya tinggi atau tidak,” ujarnya.

Sementara itu tinjauan di Jeti Pulau Ketam mendapati kenderaan seperti kereta dan motosikal yang diletakkan pekarangan serta ruang parkir ditenggelami air pada paras kira-kira 0.3 meter yang turut menenggelamkan bahu jalan serta laluan pejalan kali.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia diberitahu operasi komuter berjalan seperti biasa apabila tiada mana-mana bahagian laluan dari Pelabuhan Klang menuju Kuala Lumpur ditenggelami air.

Tinjauan di Lebuhraya Selat Klang Utara di Bandar Sultan Suleiman mendapati keadaan trafik sesak sejak pukul 6.45 pagi apabila keseluruhan jalan di kilometer (KM) 3.4 dinaiki air.

Keadaan itu menyebabkan kesesakan di kedua-dua arah dari Pelabuhan Utara dan Shah Alam sepanjang hampir 1km. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya