Air pasang besar setinggi 5.8 meter esok - Utusan Malaysia

Air pasang besar setinggi 5.8 meter esok

Air pasang
KEADAAN Pantai Morib yang dilimpahi air berikutan fenomena air laut pasang besar di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Pantai di Selangor khususnya di daerah ini dijangka mengalami limpahan air esok berikutan fenomena air laut pasang besar yang diramalkan mencecah ketinggian sehingga 5.8 meter pada pukul 7.23 pagi.

Pengarah Korporat, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Hashila Hamzah berkata, sebarang aktiviti pantai seperti mandi, berkelah,bermain pasir,memancing dan menaiki bot tidak digalakkan bagi menjamin keselamatan para pengunjung.

“Hari ini, air pasang besar menyebabkan kawasan Pantai Kelanang dan Pantai Morib dinaiki limpahan air disebabkan berlaku kenaikan setinggi 5.78 meter paras air laut.

“Pemantauan Skuad Pantas MPKL yang melakukan tinjauan pada pukul 6.15 pagi hingga pukul 8 pagi tadi melaporkan berlaku limpahan air laut hingga ke kawasan tempat meletak kenderaan di Pantai Kelanang.Sementara itu di Pantai Morib, air melimpah hingga ke kawasan pantai berpasir,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, limpahan di kedua kawasan hari ini membawa bersama sampah ke daratan namun tidak menjejaskan aset milik MPKL di kawasan terlibat.

“Selain kedua pantai, Skuad Pantas turut membuat pemantauan di Pantai Cunang, Pantai Batu Laut dan Jeti Tanjung Sepat,” ujarnya.

Sebelum ini, MPKL melalui laman media sosialnya, mengingatkan orang ramai untuk menjauhi kawasan pantai berikutan fenomena air pasang besar dijangka bermula 18 hingga 21 September ini.

Sementara itu, di Sabak Bernam, fenomena air pasang besar pada awal pagi tadi mengakibatkan kawasan medan niaga di Pantai Batu 23 Sungai Nibong, Sekinchan di sini dilimpahi air laut.

Limpahan tersebut adalah kali kedua berlaku di lokasi sama selepas beberapa gerai penjaja dan premis perniagaan dinaiki air kelmarin.

Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) memaklumkan penutupan kawasan pantai Sungai Nibong itu daripada sebarang aktiviti.

“Ia susulan fenomena air pasang dijadualkan berlaku di daerah ini sehingga Sabtu ini. Pengunjung tidak dibenarkan melakukan aktiviti di kawasan pantai antaranya mandi, berkelah atau berkhemah, bermain pasir, memancing, menaiki bot dan berniaga,” ujarnya.

Kejadian itu tular menerusi video berdurasi dua minit memaparkan fenomena ombak kuat menghentam kawasan pesisiran pantai terbabit.

Netizen meminta pihak berwajib meninggikan tembok pantai bagi menghalang kemasukan air laut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya