Air pasang besar: 300 buah rumah terjejas di Kuala Perlis - Utusan Malaysia

Air pasang besar: 300 buah rumah terjejas di Kuala Perlis

ABU Bakar Hamzah (depan) turun padang meninjau mangsa-mangsa banjir yang terjejas berikutan fenomena air pasang di sekitar Kuala Perlis, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Lebih 300 buah rumah sekitar kawasan Kuala Perlis dilaporkan terjejas berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlarutan sehingga Sabtu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, kebanyakan rumah dinaiki air itu terletak di sekitar kawasan pesisir pantai dan sungai.

Katanya, rumah yang terjejas itu juga dikenalpasti turut berdepan beberapa kerosakan lain selepas dimasuki air laut ekoran fenomena tersebut.

“Seperti kita maklum, fenomena air pasang besar ini ada masa dan musim tertentu, jadi kita tak dapat jangka sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.

“Kita telah tinjau di beberapa lokasi sekitar Kuala Perlis dan mendapati banyak rumah di kawasan pesisir pantai dan sungai di sini dimasuki air masin,” katanya.

Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati pantai di Kuala Perlis mula dibadai ombak kuat dan angin kencang sekitar pukul 1 tengah hari sehingga menyebabkan air melimpah ke rumah dan kedai-kedai makan di kawasan pesisir pantai.

Selain itu, beberapa laluan sekitar kawasan ini turut dinaiki air dan menyukarkan kenderaan awam untuk melaluinya.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, beliau telah turun padang bagi memberi bantuan awal seperti barangan keperluan asas buat penduduk yang terjejas dengan fenomena itu.

“Fenomena ini memang kebiasaan pada setiap tahun tapi kali kali ini, keadaan air agak besar ditambah dengan tiupan angin kencang dan hujan lebat,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, pihaknya juga berharap kerajaan negeri dapat membantu membaik pulih rumah-rumah penduduk yang terjejas khususnya di kawasan pesisir pantai dan sungai sekitar Kuala Perlis.

Tambahnya, langkah ini adalah berikutan rumah-rumah terlibat sering kali mengalami kerosakan teruk sekiranya berlaku sebarang bencana banjir mahu pun ribut kencang.

“Mungkin kerajaan negeri boleh ambil langkah alternatif dengan sediakan dana khas untuk disegerakan bantuan kepada mangsa terlibat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya