Aina Abdul jelajah tiga negeri, termasuk Sarawak untuk siri konsert sulung - Utusan Malaysia

Aina Abdul jelajah tiga negeri, termasuk Sarawak untuk siri konsert sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aina Abdul mengumumkan bakal mengadakan siri konsert jelajah, Aina Abdul Imaji Tour, di tiga negeri pada Disember tahun ini dan awal tahun hadapan.

Kata Aina, konsert itu merupakan usaha untuk memperkenalkan dan mengukuhkan album sulungnya, Imaji yang dilancarkan Oktober tahun lalu.

“Saya percaya ini merupakan masa yang tepat untuk membawa Imaji menjelajah dan mendekati peminat di seluruh negara.

“Siri jelajah ini bukan sahaja sekadar persembahan pentas tetapi usaha saya untuk terus meneroka dan mendekati peminat di lokasi yang berlainan.

“Dengan pemilihan tiga lokasi itu, saya berharap dapat memperluaskan lagi jangkauan muzik kepada semua orang dan tidak hanya di Lembah Klang,” katanya.

Aina ditemui ketika sidang media pelancaran siri konsert, AAina Abdul Imaji Tour semalam.

Selain itu, jelas penyanyi lagu Sumpah dan Shadow itu, siri konsert jelajah itu merupakan satu pencapaian terpenting dalam kariernya sebagai anak seni.

“Untuk mengadakan konsert ini merupakan satu pencapaian peribadi saya yang betul-betul saya nak buat.

“Walaupun pada mulanya saya dah mula tawar hati kerana ada banyak perkara yang terjadi, namun pasukan saya terus menyokong saya untuk memastikan jelajah ini terjadi.

“Jadi, saya ingin peminat merasakan jiwa setiap lagu dan persembahan yang menarik daripada saya. Janji, persembahan untuk konsert jelajah ini akan menampilkan melainan daripada konsert saya belum ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, konsert ini akan diadakan di tiga lokasi iaitu di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 14 Disember, Zepp Kuala Lumpur pada 27 Disember ini dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 11 Januari 2025.

Oleh itu, tiket untuk siri konsert jelajah ini akan mula dijual mulai esok pada jam 10 pagi di www.ticket2u.com.my dan boleh ikuti maklumat terkini mengenai jualan tiket dan butiran konsert di semua akaun media sosial rasmi Aina Abdul.

Harga tiket bagi lokasi UUM dan UNIMAS boleh didapati pada harga RM100 sehingga RM180 manakala bagi Zepp KL harga tiket boleh didapati daripada RM288 sehingga RM6666. Turut tersedia ruangan untuk OKU berharga RM268.

Pembelian tiket boleh menggunakan sistem beli dahulu, bayar kemudian menggunakan Atome dan SPayLater.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN