Ahmad Zahid sedia disiasat dakwaan menipu berkenaan akuan bersumpah - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid sedia disiasat dakwaan menipu berkenaan akuan bersumpah

ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersedia untuk disiasat berhubung dakwaan wujud unsur penipuan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, gabungan itu mempunyai rakaman video 10 ahli Parlimen yang didakwa telah menandatangani dua akuan berkanun (SD) dan menandatangani ikrar yang memberinya kuasa untuk membentuk kerajaan.

“Saya harap pihak yang bertanggungjawab seperti polis, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) atau Jabatan Peguam Negara sendiri akan menyiasat dakwaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung tahunan MYPPP yang ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Pada Ogos lalu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berhubung dua kesalahan.

Dua laporan polis dibuat hari ini mendakwa Ahmad Zahid menipu Yang di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung akaun bersumpah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) selain menyalah guna kuasa berkaitan peruntukan kepada Skuad Sabil.

Pengarah Pilihanraya Pemuda Perikatan Nasional (PN), Zahin Zainal berkata, laporan itu susulan dakwaan Presiden UMNO itu terdapat SD bertindih.

Katanya, dakwaan itu jelas mengelirukan dan bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran sebelum ini yang mendakwa tindakan Ahmad Zahid ketika hendak menubuhkan Kerajaan Perpaduan tidak bersandarkan kepada ketetapan Dewan Tertinggi BN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN