Ahmad Zahid mulakan lawatan rasmi ke China 

Ahmad Zahid mulakan lawatan rasmi ke China 

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI, CHINA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijadual memulakan lawatan kerja ke Republik Rakyat China (RRC) bermula hari ini hingga Khamis dalam usaha mempertingkat kerjasama khusus mengenai isu membanteras jenayah rentas sempadan.

Lawatan tersebut adalah jemputan Pengerusi Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL), Tsang Wai-Hung dan Presiden Persatuan Persahabatan China, Chen Zinmin.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, Ahmad Zahid dijadualkan menghadiri Persidangan GPSCFL bermula hari ini hingga esok di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu.

“Persidangan ini, bertema Win-win Cooperation Under Significant Changes: Building A Global Community of Common Public Security, di mana semua pemimpin antarabangsa akan berkumpul untuk menangani masalah keselamatan awam,” katanya.

Dalam rangka kerja lawatan ke China itu juga, Timbalan Perdana Menteri dijadual mengadakan perbincangan dengan Penasihat Negara dan Menteri Keselamatan Awam RRC, Wang Xiaohong mengenai perkara yang mempunyai kepentingan bersama kedua-dua negara.

“Mereka juga dijangka bertukar pandangan berhubung isu serantau dan antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Wisma Putra turut memaklumkan, Ahmad Zahid dijadual menghadiri Forum Perniagaan Halal Malaysia-China di Shanghai pada Selasa ini dianjurkan Halal Development Corporation (HDC) dan dihadiri oleh pemain industri halal dari Malaysia dan China.

“Beliau juga akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Mara Aerospace & Technologies Sdn. Bhd. dan Honeycomb Aerospace Technologies (Beijing) Co. Ltd. dalam bidang penerbangan,” katanya. 

Untuk 15 tahun berturut-turut sejak 2009, China merupakan rakan perdagangan global Malaysia  terbesar di mana pada tahun lalu, jumlah perdagangan dengan Malaysia bernilai RM450.84 bilion yang menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global Malaysia.

Separuh pertama 2024 juga mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion di mana pada suku pertama 2024, sejumlah 24 projek pembuatan diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.4 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya