PETALING JAYA: Ahli-ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) didakwa hidup dalam ‘dunia sendiri’ selain hanya memilih kelompok tertentu untuk bergaul.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kebanyakan ahli GISBH yang tinggal di sekitar Bandar Country Homes, Rawang memencilkan diri dan tidak ramah dengan masyarakat setempat.
“Mereka macam hidup dalam dunia sendiri, ibarat mereka tidak perlu ‘bergantung’ dengan penduduk kerana ada komuniti sendiri, serta boleh berdikari.
“Saya pernah mendapatkan khidmat perubatan di klinik mereka, mereka langsung tidak peramah, sama ada mereka anggap saya orang luar, itu saya tidak pasti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Oleh itu, kata penduduk itu, mereka yang tinggal berhampiran komuniti GISBH di Bandar Country Homes tidak mempunyai gambaran terperinci mereka.
Terdahulu, Polis Kontinjen Selangor bersama Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), dibantu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu penempatan GISBH pada pukul 6.30 pagi.
Susulan itu, lebih 10 individu termasuk kanak-kanak, remaja, wanita dewasa dibawa menaiki van polis ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, untuk proses dokumentasi.
Pihak MPS turut merobohkan beberapa struktur haram termasuk menyita premis perniagaan GISBH yang tidak berlesen.- UTUSAN