PETALING JAYA: Agrobank melancarkan ‘Kempen AgroMAHA Menang Motosikal Setiap Hari’ dan Kad Takaful Kasih Plus (TPK) istimewa sempena MAHA 2024 yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Muhamad Sabu dalam Majils Media Tour MAHA 2024.
Kempen AgroMAHA menawarkan lebih 50 hadiah termasuk 12 buah motosikal sebagai hadiah utama dan gajet-gajet menarik seperti tablet, telefon bimbit, jam tangan pintar dan headphone tanpa wayar yang boleh dimenangi setiap hari sepanjang MAHA 2024.
Bagi menyertai kempen ini, pelanggan-pelanggan Agrobank sama ada yang baharu atau sedia ada hanya perlu menyimpan dan melanggan produk-produk terpilih.
Antara produk-produknya adalah AgroPrimaS dan FRIA-i / FRIA-i 45 Plus, Takaful Kasih Plus, Agro Nurani, Agro Madani, Agro Takaful Flexi, Agro Takaful Aspirasi serta Pembiayaan Peribadi AgroCash-i dengan kelulusan segera.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kempen eksklusif AgroMAHA yang dianjurkan sempena pameran pertanian yang berprestij ini bertujuan untuk menggalakkan para pelanggan membina kestabilan kewangan.
Beliau berkata, ini boleh dicapai melalui tabiat menabung agar menjamin masa depan yang lebih cerah.
Tambahnya, pelancaran Kad Takaful Kasih Plus Edisi MAHA 2024 pula menyediakan perlindungan kepada para pelanggan dengan manfaat tambahan yang menarik.
“Dengan harga serendah RM54 bagi TKP 3, pelan ini menawarkan perlindungan yang memenuhi keperluan kesihatan dan keselamatan diri.
“Istimewanya Kad Takaful Kasih Plus Edisi MAHA 2024, dengan harga yang berpatutan dan mampu milik, para pelanggan dapat menikmati perlindungan yang komprehensif beserta manfaat tambahan termasuk kecederaan akibat ragut dan caj ambulans.
“Kelayakan manfaat tambahan ini terbuka kepada pelanggan yang daftar bermula 26 Ogos sehingga 30 September dan ia terpakai pada penyertaan TKP 3, TKP 4, TKP 5 dan TKP 6,” ujarnya.
Selain itu, Agrobank turut menawarkan ganjaran istimewa wang tunai bernilai RM20,000 untuk para pelanggan yang menggunakan kemudahan DuitNow QR Agrobank semasa membuat sebarang pembayaran di MAHA.
Penyertaan ini adalah melalui pengumpulan mata dengan perbelanjaan minimum RM20 dalam satu transaksi.
Jelasnya, usaha ini adalah untuk menggalakkan pengunjung menggunakan DuitNow QR Agrobank sebagai transaksi bayaran utama.
Agrobank juga menganjurkan pelbagai aktiviti menarik bagi memeriahkan suasana MAHA 2024 seperti AgroFit, Agro Youth dan aktiviti-aktiviti untuk kanak-kanak.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.agrobank.com.my atau kunjungi cawangan Agrobank berdekatan.-UTUSAN