Agong zahir rasa suka cita prestasi ekonomi negara - Utusan Malaysia

Agong zahir rasa suka cita prestasi ekonomi negara

SULTAN Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Persekutuan Sempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. - FACEBOOK RASMI RTM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa suka cita terhadap prestasi ekonomi negara ketika ini yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda senang hati berikutan keadaan ekonomi dan prestasi perdagangan negara telah bertambah baik dan menunjukkan peningkatan.

“Saya berharap kerajaan akan terus berusaha untuk merancakkan ekonomi negara bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.

“Semua pemimpin dan anggota pentadbiran kerajaan juga hendaklah memikul amanah dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara. Elakkan amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya juga berharap seluruh rakyat Malaysia akan terus mengekalkan perpaduan hidup harmoni dan bersatu padu serta berpegang teguh kepada rukun negara,” titah baginda sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda, hari ini. 

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan ucapan terima kasih atas ucapan tahniah dan doa yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Akhir kata, saya dan isteri saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas ucapan tahniah dan iringan doa kepada seluruh rakyat jelata dan sentiasa mengiring setiap langkah saya menjalankan tugas dan amanah sebagai ketua negara. 

“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah swt, semoga negara Malaysia ini akan terus dikurniakan rahmat, keberkatan, kekal aman, makmur dan sejahtera,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 116 penerima bersempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.

Seri Paduka turut mengingatkan kepada penerima untuk sentiasa jujur dan amanah kepada pemerintah, jaga tingkah  laku dan jangan libatkan dengan rasuah atau kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN