Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Istiadat panji-panji

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Istiadat panji-panji

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah - FACEBOOK RASMI SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, hari ini.

Menurut Facebook rasmi, keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut dengan alunan lagu Negaraku, disusuli formasi terbang lintas hormat lima pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Kesemua pesawat itu membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, Panji Tentera Darat Malaysia (TDM), Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Panji Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Sebanyak 21 das tembakan kehormatan turut dilepaskan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Hafizan bin Mat Ghani.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 57 pegawai dan 847 anggota ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM diketuai Leftenan Kolonel Muhammad Firdaus Sa’ad, Pegawai Memerintah Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD),” kata hantaran itu. 

Istiadat Mengarak Panji-Panji merupakan antara acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong bagi tahun 2024.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman. 

Menurut hantaran tersebut, panji-panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat serta ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap raja dan negara.

“Dari sudut sejarah, Panji-Panji berasal daripada bendera yang digunakan oleh suatu ketumbukan angkatan tentera pada zaman dahulu. 

“Dalam era moden, Panji-Panji serta upacara mengaraknya menyumbang kepada lambang perhubungan sesuatu pasukan atau ketumbukan dengan institusi Diraja dan kerajaan di bawah naungan Baginda.

“Istiadat Mengarak Panji-Panji diadakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN