PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan mengadakan lawatan negara ke China sebagai satu lembaran baharu persahabatan erat antara Malaysia dan negara Tembok Besar itu.
Seri Paduka berharap lawatan negara itu menjadi asas kepada pengukuhan persahabatan ke dekad seterusnya.
“Hubungan dengan China membawa pelbagai manfaat kepada Malaysia sepanjang lima dekad yang lepas. Saya berharap lawatan ini juga menjadi asas kepada pengukuhan persahabatan ke dekad seterusnya.
“Saya yakin terdapat pelbagai bidang yang boleh diterokai bersama dengan kepakaran yang ada antaranya dalam sektor ekonomi digital, pembangunan hijau serta dan perindustrian,” titah Seri Paduka kepada Royal Press Office (RPO).
Menurut kenyataan dikeluarkan RPO, lawatan Seri Paduka mulai 19 hingga 22 September ini mencatatkan sejarah penting dalam perhubungan diplomatik Malaysia-China yang memasuki 50 tahun.
Sultan Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Li Qiang diikuti pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping.
Yang di-Pertuan Agong juga akan berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknikal Kapal Terbang Awam Beijing COMAC bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan China yang terkini.
Sultan Ibrahim turut dijadual bertemu dengan diaspora Malaysia di China dan turut memperkenankan penamaan semula Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University bersempena nama Seri Paduka. – UTUSAN