Agong berangkat Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW

Agong berangkat Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 2024 Isnin ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan untuk berangkat pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446/2024, Isnin ini.

Bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’, sambutan itu bukan sekadar memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), seramai 6,000 orang menyertai majlis sambutan ini daripada 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta dengan turut diserikan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kemuncak majlis sambutan adalah pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446/2024 oleh Seri Paduka Baginda dengan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam orang penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW.

“Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu-individu yang layak dan memberi sumbangan cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jakim berkata, penerima anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang disumbang untuk pembangunan agama, bangsa dan negara dengan memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran semua.

Jelasnya, penerima anugerah dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan yang diurusetiakan oleh Jakim.

Katanya, penganjuran kali ini dapat menyaksikan inovasi atau suntikan elemen teknologi iaitu persembahan seni media pemetaan cahaya (mapping) pada latar pentas (astaka), yang akan memaparkan tayangan grafik yang berinteraksi dengan fasad latar pentas (astaka).

“Ini merupakan antara tarikan dan kelainan yang bakal dibawa melalui acara sambutan pada kali ini.

“Selain itu, mengambil semangat kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, maka pada tahun ini juga dibawakan persembahan khas yang mengangkat keperibadian Nabi Muhammad SAW sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa-peristiwa dari sirah kehidupan baginda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya