Agensi kerajaan kena kaji setiap kejadian bencana alam  - Gerakan - Utusan Malaysia

Agensi kerajaan kena kaji setiap kejadian bencana alam  – Gerakan

Dominic Lau Hoe Chai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyarankan agensi-agensi kerajaan menerapkan konsep bersiap sedia serta berwaspada dengan apa-apa insiden bencana alam yang akan berlaku.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berpendapat, langkah itu perlu dan bukan sekadar menghantar kakitangan untuk membersihkan dan membaiki kerosakan selepas bencana alam tanpa tindakan susulan.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan melakukan kajian menyeluruh selepas setiap insiden bencana alam serta mengumpul data mengenai kemusnahan yang berlaku dan memahami punca kejadian tersebut supaya langkah yang sesuai dapat diambil. 

Menurutnya, mengambil kira kejadian tanah jerlus di Masjid India,  beberapa insiden pokok besar tumbang akibat ribut, pihak berkuasa didakwa hanya bertindak aktif jika insiden berlaku dan semua akan menjadi seperti sedia kala setelah keadaan reda. 

“Adakah pihak berkuasa kerajaan telah melakukan pemeriksaan susulan yang menyeluruh terhadap keselamatan tanah di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur? Adakah kaedah pencegahan telah dikenal pasti untuk mengelakkan kejadian sama berulang?

“Saya berharap semua pihak berkuasa tempatan di seluruh negara dapat memeriksa pokok-pokok lama di kawasan mereka dan melantik pakar untuk memeriksa pokok-pokok tersebut secara berkala bagi memastikan ia tidak tumbang akibat reput ketika hujan lebat dan angin kencang yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mengulas lanjut, Dominic berkata, pokok besar di beberapa kawasan di negara ini termasuk di lereng bukit dan tepi jalan didapati semakin membesar selama bertahun-tahun serta menunjukkan tanda-tanda condong. 

Jelasnya, beberapa akar pokok yang ditanam di tepi jalan juga telah merosakkan kemudahan awam, menembusi tanah dan terus membesar sehingga menyebabkan permukaan jalan menjadi tidak rata. 

“Semua masalah ini perlu diberi perhatian,” katanya. 

Pada masa sama, beliau berpendapat, selain mencari pakar luar, kerajaan juga sepatutnya memanfaatkan kepakaran Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) yang merupakan pakar dalam bidang itu dan boleh memberikan khidmat nasihat profesional. 

“Pokok-pokok yang ditanam juga perlu diuruskan dan diselenggara dengan baik untuk mengelakkan sebarang ancaman kepada orang awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN