KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Wow, Ady, tidak jemu menyanyikan dua lagu popular kumpulan itu iaitu Engkau Tetap Satu dan Kau Yang Satu setiap kali membuat persembahan.
Ady, 56, berkata perkara itu disebabkan dia masih menerima permintaan untuk menyanyikan lagu-lagu tersebut, justeru dia tidak pernah keberatan untuk berulang kali membawakannya demi melunaskan kehendak peminat.
“Lagu sebenarnya banyak. Kalau ada permintaan, tak ada masalah untuk saya persembahkan lagu lain.
“Tetapi, peminat lebih mahukan dua lagu itu. Jadi saya pun nyanyikan setiap kali membuat persembahan,” katanya.
Ady berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar konsert Telan Kaset 90-an baru-baru ini.
Ady dalam pada itu memaklumkan tidak pernah keluar daripada bidang seni dan malah katanya, dia masih aktif serta sedang sibuk menyiapkan album baharu.
“Album hampir siap, tunggu masa untuk diterbitkan. Buat masa ini, belum ada ketetapan (tarikh penerbitan).
“Ia album penuh, boleh katakan saya cipta sendiri semua lagu didalamnya. Konsep yang saya pilih adalah folks dan akustik.
“Saya akan cuba jual album itu. Kalau ada persembahan, saya akan edarkan,” kongsinya.