Ada kanak-kanak GISBH berdepan isu kesihatan mental - KKM

Ada kanak-kanak GISBH berdepan isu kesihatan mental – KKM

LUKANISMAN Awang Sauni ketika Sambutan Hari Farmasi Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan dan Pelancaran Inisiatif MyMediSAFE di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti ada dalam kalangan kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal kendalian GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) berdepan isu kesihatan mental dipercayai akibat trauma yang dihadapi.

Menurut Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni, ketika ini KKM menyediakan bantuan rawatan yang diperlukan termasuk sistem sokongan kesihatan mental.

“Kita akan beri maklumat itu secara terperinci kerana ketika ini masih lagi dalam operasi menyelamatkan kanak-kanak GISBH di seluruh negara.

“Diakui memang ada dalam kalangan kanak-kanak tersebut yang memerlukan sistem sokongan kesihatan mental kerana mereka dipisahkan daripada keluarga dan ada yang tidak tahu keadaan sebenar (yang terjadi) kepada diri mereka.

“Jadi ini adalah proses yang kita serahkan kepada semua pakar (psikologi) yang dihantar ke Pulapol (Kuala Lumpur),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 dan Pelancaran Inisiatif MyMediSAFE di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung keadaan kesihatan terkini kanak-kanak GISBH yang telah diselamatkan.

Sebelum ini, seramai 13 pakar psikologi daripada Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) disediakan KKM bagi merawat kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global.

Kumpulan pakar psikologi tersebut merupakan pasukan petugas khas yang melakukan saringan kesihatan mental kepada kanak-kanak terbabit yang kini ditempatkan sementara di  PULAPOL Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Lukanisman memaklumkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad akan memperincikan secara lebih lanjut mengenai penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dalam masa terdekat.

Bermula 1 Oktober ini KKM akan menguatkuasakan Akta 852 yang merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam termasuk rokok elektronik.

Pada 17 Mei lalu, Dzulkefly dilaporkan berkata, Akta 852 yang diwartakan pada Februari lalu adalah antara usaha kerajaan mengekang penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan produk tembakau termasuk rokok elektronik dan vape. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN