Abdul Rasid dilantik TNC HEPA UTHM

Abdul Rasid dilantik TNC HEPA UTHM

ABDUL RASID ABDUL RAZZAQ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prof Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baharu berkuat kuasa mulai 15 September lalu sehingga 14 September 2026.

Lantikan itu telah dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menurut kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 12 (6) Perlembagaan UTHM.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Profesor Sr. Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail yang telah tamat tempoh pelantikannya.

Abdul Rasid, 52, sebelum ini merupakan Dekan di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), UTHM.

Anak kelahiran Terengganu itu turut memegang beberapa jawatan penting di universiti antaranya pernah Menjalankan Tugas Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) dan Ketua Pusat Advanced Centre for Technical and Vocational Education (ACTiVE).

Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Perancangan Bandar dan Wilayah, dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu mempunyai kepakaran dalam bidang pembangunan keupayaan komuniti khususnya bagi pembangunan program pelancongan berasaskan komuniti.

Beliau mempunyai pengalaman mengajar lebih 25 tahun dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pengkhususan dalam pelancongan.

BERMULA 1998

Untuk rekod, Abdul Rasid memulakan kerjaya sebagai pensyarah pada 1998 di Politeknik Johor Bahru (kini dikenali Politeknik Ibrahim Sultan), dan merupakan kumpulan perintis di politeknik tersebut sebelum memulakan perkhidmatan sebagai pensyarah di UTHM pada tahun 2005.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat kedoktoran, beliau sekali lagi diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) pada tahun 2014 sehingga 2019 sebelum dilantik sebagai Dekan FPTV.

Dalam tempoh menyandang jawatan itu, beliau telah memainkan peranan penting dalam menyediakan laluan kepada lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) untuk menyambung pengajian ke program ijazah Sarjana Muda Pendidikan vokasional dalam tujuh pengkhususan di FPTV.

Lebih membanggakan, setelah Abdul Rasid dilantik sebagai Dekan FPTV beliau terus memperjuangkan agenda TVET negara sehingga UTHM berjaya menawarkan program TVET termaju yang dikenali sebagai Sarjana Muda Teknologi (Bachelor of Technology –B.Tech) dalam tujuh bidang di bawah FPTV yang menggunakan pendekatan Work-based Learning (WBL).

Manakala di peringkat antarabangsa pula, beliau turut dilantik sebagai Lembaga Eksekutif dalam Regional Association Vocational Technical Education (RAVTE).

Ketika ditanya tentang hala tuju atau pendekatan yang bakal dibawa beliau ketika menggalas tanggungjawab sebagai TNC (HEPA), Prof. Rasid berkata beliau akan terus memberi fokus kepada misi melahirkan graduan yang holistik sifatnya, iaitu seimbang dari aspek pemikiran, kompeten dan keperibadian unggul sebagai bakal sumber tenaga negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN