PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menghadiri Muktamar Penyatuan Islam Sedunia Kali Ke-38 anjuran Majma’ Taqrib Mazahib yang berlangsung dari 19 hingga 21 September lalu di Teheran, Iran.
Selain itu, Ahli Parlimen Marang tersebut berkesempatan menghadiri majlis bersama Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatollah Imam Khamenei.
Menurut Abdul Hadi, beliau dan beberapa kenamaan diberi kesempatan menyampaikan ucaptama dalam persidangan yang bertemakan ‘Kerjasama Islam Ke Arah Mencapai Nilai Kebersamaan Bagi Mempertahankan Al-Aqsa’.
“Selain itu, memberikan pandangan terhadap ketegasan dunia Islam dalam mempertahan Palestin melangkaui perbezaan mazhab dan asabiyah perkauman, seterusnya menggembeling kerjasama dalam kalangan ulama’ untuk membangkitkan kesedaran umat Islam.
“Majlis perasmian muktamar telah disempurnakan oleh Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian yang menekankan perlunya umat Islam menghayati perjuangan Rasulullah yang membawa mesej perpaduan dan keamanan, khususnya dalam suasana umat Islam yang sangat mencabar hari ini,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Pada masa sama, Abdul Hadi dijemput menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Majma’ Taqrib Mazahib di bawah kepimpinan Syeikh Dr. Abdul Hamid al-Shahriari serta diberikan penghormatan menghadiri majlis bersama Khamenei.
Dalam kesempatan sama, beliau bertemu para pemimpin gerakan Islam dan ulama yang mewakili kelompok Sunni dan Syiah dari Palestin, Iran, Arab Saudi, Turkiye, Rusia, Lubnan, Pakistan, India dan Afghanistan di samping memenuhi undangan temu ramah dengan beberapa agensi berita antarabangsa.
“Semoga usaha penyatuan ini akan menatijahkan kejayaan yang lebih besar kepada dunia Islam dan perjuangan Palestin, berpaksikan kepada tonggak keadilan, keamanan dan perpaduan yang dibawa oleh Rasulullah sebagai jalan penyelesaian,” katanya. – UTUSAN