A.R. Badul sudah bersara jadi hero - Utusan Malaysia

A.R. Badul sudah bersara jadi hero

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POPULARITI yang dikecapi pelakon dan pengarah, A.R. Badul ketika zaman kegemilangannya dahulu bertahan sehingga ke zaman sekarang. 

Jumlah pengikutnya di aplikasi TikTok, hari ini bertambah kepada lebih 100,000, membuktikan Badul masih popular dan memiliki ramai peminat. 

Keadaan itu menimbulkan spekulasi, kononnya, anak seni yang dilahirkan di Singapura ini menjana pendapatan lumayan menerusi pembabitannya dalam platform tersebut. 

Tapi Badul menafikan perkara itu. Malah jelas pemilik nama sebenar Armaya Aman Ramlie ini, jana pendapatan bukan matlamat utama memiliki TikTok. 

“Pandangan orang, yang kononnya saya raih pendapatan lumayan di TikTok, tidak benar. Itu bukan matlamat saya. Malah, saya tidak live 24 jam dalam platform itu. Hanya peruntukan dua jam, pagi dan malam untuk live. 

“Saya percaya, kalau jual atau promosi produk di TikTok, mungkin boleh kaya. Tapi saya tak ada produk untuk dijual. Ada pihak yang tawarkan saya untuk promosi produk mereka, tapi saya tolak kerana tak mahu orang lain menanggung kesan sekiranya produk itu bermasalah. 

“Apa pun, duit hasil aktif di TikTok ada, tetapi tak banyak. Kalau ada, 20 peratus daripada hasil tersebut, saya sedekahkan. Bukan hendak tunjuk baik, tetapi apa yang saya terima, saya kongsikan,” katanya. 

Badul tidak menafikan, rata-rata pengikutnya di TikTok adalah golongan berusia yang membesar dengan filem dan drama lakonannya. 

“Alhamdulillah, rata-rata pengikut saya adalah mereka yang berumur 40 hingga 50 tahun dan ke atas. Orang muda tak ada. 

“Mereka yang ikuti saya di TikTok juga terdiri dalam kalangan pesara tentera dan peminat drama dan filem saya. 

“Jumlah pengikut yang tinggi mungkin kerana ada yang masih kenal saya, sejak zaman kegemilangan saya dahulu,” kongsinya.

SI BADOL

Badul mencipta nama menerusi filem ini, yang diarahkan Allahyarham Aziz Sattar, terbitan Sabah Film Productions pada tahun 1979. 

Menurut Badul, filem berkenaan hampir tidak ditayangkan kerana dianggap sebagai filem yang tidak berkualiti oleh penerbitnya, M Borhan. 

“Filem itu mengambil masa satu tahun untuk disiapkan. Penayangannya ditangguhkan selepas enam bulan selepas filem itu disiapkan. 

“M Borhan hampir buang filem itu kerana baginya Si Badol filem ‘sampah’. Iyalah, peruntukan untuk menghasilkannya tidaklah besar. 

“Tapi ada sebab kenapa M. Borhan akhirnya bersetuju tayangkan filem ini. Ketika bersiar-siar di Jalan Pekeliling, kereta yang kami naiki, ditahan peminat yang mahu mendapatkan tanda tangan saya. 

“Ketika itu, dia terkejut kerana saya ada peminat. Dan disebabkan itu, dia bersetuju pasarkan filem Si Badol. Alhamdulillah, filem itu berjaya dengan kutipan sehingga RM3 juta,” katanya. 

Kata Badul, kejayaan filem itu telah memberi inspirasi kepada ramai pembikin filem untuk menubuhkan syarikat produksi. 

“Boleh kata, Si Badol jadi pencetus kepada kelahiran ramai penerbit tempatan, selepas era Shaw Brothers.

“Orang mula nampak perniagaan filem bawa keuntungan. Sebab itu syarikat produksi, selepas itu muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan,” jelasnya.

BIDAN TERJUN

Pembabitan Badul dalam dunia seni bukan perkara yang dirancangnya. Malah Badul ketika usianya belasan tahun, tidak pernah menyimpan cita-cita untuk menjadi ‘anak wayang’ seperti bapanya. 

“Saya tidak pernah merasa hidup sebagai anak orang filem. Malah ketika membesar, saya tidak tinggal dengan ibu bapa di Singapura, sebaliknya dibesarkan keluarga angkat, iaitu Allahyarham A.R. Tompel dan isterinya di Muar. 

“Sebelum jadi pelakon, pelbagai kerja saya buat. Antaranya jadi nelayan dan tukang panjat pokok kelapa. 

“Sebagai orang kampung, hidup saya ketika itu sederhana dan tidak bercita-cita tinggi, apatah lagi mahu menjadi pelakon,” katanya. 

Jelas Badul, pelakon legenda, Kasma Booty antara individu yang memberi pendedahan dunia seni kepadanya. Katanya, dia menganggap keluarga Kasma ibarat keluarga sendiri. 

“Langkah awal saya ke dalam dunia seni bermula dengan pergaulan bersama anak-anak Kasma Booty. Lagi pula, ketika di Kuala Lumpur, saya tinggal di rumah mereka di Gombak. 

“Saya juga pernah mengikuti rombongan persembahan Kasma di Sumatera, Indonesia. Pada awal, saya hanyalah seorang pembantu. 

“Kemudian, saya diminta menjadi pelawak, belajar berjenaka daripada Jacob Booty. Dia orang pertama yang mengajar saya tentang komedi,” kongsinya. 

Badul dan rombongan Kasma pulang ke Malaysia pada tahun 1969. Tidak lama selepas itu, sekitar awal 70-an, ayah kandungnya meninggal dunia. 

“Saya memiliki kad pengenalan (biru) selepas bapa saya meninggal dunia. Rayuan saya diterima selepas lama memegang kad pengenalan merah. 

“Selepas bekerja sebagai pemandu bas, saya masuk program pencarian bakat TV anjuran RTM. Rezeki, saya bergelar juara. Tetapi nama saya tidak popular. 

“Saya hanya dikenali selepas muncul dalam program televisyen Si Badul di RTM. Selepas itu barulah kehadiran saya dalam dunia seni disedari masyarakat,” jelasnya.

KAKI PEREMPUAN

Sebagai orang terkenal, Badul puas berdepan kecaman. Pelbagai kejian yang diterimanya, antaranya, pernah digelar kaki perempuan. Badul akui dia tidak sempurna. 

Kesilapan lama dianggap pengajaran yang bermakna. 

“Sebut sahaja Badul, orang kaitkan sebagai kaki perempuan. Selalu kahwin cerai, anak merata-rata. 

“Yang kata saya kaki perempuan, saya hormat pandangan mereka. Mereka tak faham, sebagai artis, memang ramai yang minat kita. Tapi bukanlah peminat itu mahukan kita. 

“Saya ini, tak adalah baik sangat. Dulu ‘buaya’ juga. Peminat suka sikap saya yang peramah dan kelakar. Saya akui, memanglah dulu saya ada mengurat perempuan. 

“Tapi bangga jugalah. Muka macam saya ini, ada juga perempuan yang mahu. Kalau kacak macam Shah Rukh Khan, lain cerita,” kongsinya. 

Sambung Badul, pada usia melewati 70 tahun, dia mengambil pengajaran daripada pengalaman hidup. Katanya, sikap negatif yang dulu, dibuang jauh. Kehidupan tetap diteruskan. 

“Pada usia sekarang, saya tak bangga kalau ada yang panggil saya Playboy Malaya, malah saya malu. “Nak jadi playboy, kereta dan rumah kena mewah. Setakat duduk rumah Bandaraya, tidakkah gila kalau dikatakan playboy?,” ujarnya.

Filem “Panglima Badul” yang menampilkan Badul dan Benyamin S

TAK SESUAI WATAK HERO

“Bersara? Mungkin untuk watak hero.” 

Demikian jawapan Badul apabila disoal tentang persaraan. Katanya, mungkin pada usianya sekarang ini, dia sudah tidak sesuai membawakan watak jenis itu. 

“Saya masih berlakon, tapi tak sesuai jadi hero. Usia pun sudah lanjut, tidak mungkin muka saya boleh disolek untuk jadi muda. 

“Lagipun, sudah agak lama saya tidak menerima tawaran berlakon. Saya tidaklah kejarkan sangat. 

“Malah saya selesa dengan kehidupan sekarang. ‘Periuk nasi’ saya tidak besar. Rezeki pun ada, sediakan perkhidmatan sistem bunyi untuk acara. 

“Sebagai pelakon, saya tidak lagi mahu bersaing. Kalau ada tawaran, saya terima. Kalau tidak ada, tidak mengapa,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya