Jangan panggil saya gemuk! - Zulin Aziz - Utusan Malaysia

Jangan panggil saya gemuk! – Zulin Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TABIAT ‘body-shaming’ dan kerap menyoal perihal zuriat pada masa kini seperti perkara normal buat sesetengah individu.

Namun, tanpa sedar tabiat tersebut sedikit sebanyak membuat si punya diri makan hati sehinggakan mampu meruntuhkan tahap keyakinan serta mengganggu emosi dan mentalnya.

Mana tidaknya, ada orang berfikiran soalan dan kritikan yang diajukan itu mungkin hanya sekadar pembuka kepada perbualan seterusnya. Tetapi, tidak sensitif dengan perasaan empunya badan.

Itulah perkara yang kerap dilalui oleh pelakon dan pelawak, Zulin Aziz sepanjang bergelar anak seni dalam industri hiburan tanah air.

Kata pemilik nama Farah Azleenda Abdul Aziz, setiap kali menerima komen mengenai bentuk badannya, dia lebih selesa apabila dianggap sedang berbadan dua berbanding dikritik gemuk.

Walaupun sudah lali, tanggapan itu sedikit sebanyak membuat Zulin lebih yakin dan menganggap mereka sedang mendoakannya untuk mendapat zuriat dengan segera.

“Sebenarnya, saya tak okay bila orang kata saya gemuk. Saya okay sahaja kalau orang anggap saya sedang mengandung.

“Saya sentiasa gembira setiap kali badan saya berisi, orang fikir saya sudah berbadan dua. Saya terus mengaminkan sahaja. Jadi saya pun tidak rasa malu bila nampak gemuk,” katanya.

Tidak menafikan dirinya sering berasa kecil hati dengan kutukan yang diterima mengenai fizikalnya, Zulin bagaimanapun mengambil langkah untuk kekal tenang dan tidak membalasnya.

Zulin berpendapat, perkara itu bukan lagi masalah besar buatnya kerana dia pernah gemuk dan juga pernah kurus.

“Selalunya, saya hanya membalas mereka dengan perkara yang lawak sahaja. Saya takkan mengamuk walaupun memang saya tengah marah. Jadi, mereka pun tak terasa bila saya buat begitu. Lantaklah, gemuk boleh kurus,” katanya.

Mengandung atau gemuk?
Mengakui terbuka dianggap sedang hamil, Zulin yang kini sudah dua tahun mendirikan rumah tangga itu dilihat positif meskipun masih belum berpeluang untuk menimang zuriat.

Bagaimanapun, ada pula sejenis individu yang bersikap kurang sensitif mengusap perut sesuka hati tanpa izin apabila berfikiran seseorang itu sedang hamil.

Menurut Zulin, dia tidak kisah sekiranya ada pihak yang bertindak sedemikian kerana menganggap mereka teruja untuk melihatnya menimang cahaya mata.

“Saya okay sahaja kalau ada orang datang pada saya dan mengusap perut sebab fikir saya hamil. Saya hanya anggap mereka teruja dan saya pun lebih semangat nak dapatkan cahaya mata. Saya anggap itu juga sebagai satu doa,” ringkasnya.

Zulin juga mengakui dia bimbang sekiranya ada pihak yang kecewa selepas memaklumkan bahawa dirinya masih belum ada rezeki untuk hamil.

“Sejujurnya, saya tak tahulah nak gelak ke senyum. Dalam masa yang sama saya tak nak hampakan mereka selepas bagitahu mereka yang saya tidak mengandung,” katanya

Sementara itu, pelawak tersebut turut menganggap perihal zuriat dan isu ‘body-shaming’ itu hanyalah sekadar topik untuk memulakan perbualan.

“Sekiranya orang berbuat demikian, saya juga takkan terasa. Secara logiknya, saya rasa itu hanyalah topik untuk mereka berbual,” jelasnya.

Untuk rekod, Zulin telah berkahwin dengan Farhan Norzaini pada 20 Februari 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya