97,000 pengguna berdepan gangguan air 24 jam bulan depan - PBAPP

97,000 pengguna berdepan gangguan air 24 jam bulan depan – PBAPP

SEBAHAGIAN daripada saluran paip baharu yang akan disambung dan dioperasikan pada 4 Oktober ini dilihat telah berada hadapan kampus Politeknik Seberang Perai (PSP) di Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kira-kira 97,000 pengguna akaun air di Seberang Perai iaitu di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) dijangka berdepan dengan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama 24 jam, bermula 10 malam pada 4 Oktober ini.

Gangguan itu berlaku susulan penutupan injap berukuran 1.2m (diameter) di saluran paip air terawat bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan paip berhampiran kampus Politeknik Seberang Perai (PSP) di Permatang Pauh dijalankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, pada masa yang sama, kerja-kerja penyambungan dan pengoperasian saluran paip baharu bernilai RM2 juta  juga akan dimulakan di situ iaitu antara pukul 10 malam, 4 Oktober sehingga 10 malam keesokan harinya.

“Antara kawasan yang terjejas di SPT iaitu di Kuala Juru, Taman Mengkudu, Juru Heights, Taman Cendana, Taman Cendana Indah, Taman Seri Cendana, Taman Cendana Emas dan Taman Cendana Permai.

“Turut terkesan ialah IKS Juru, Juru Estet, kawasan Juru, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, JMTI (Institut Teknikal Jepun-Malaysia), sektor perkilangan berhampiran JMTI, Flat Bayu Mutiara, Blok Q Apartment Permata, Depot Juru, Bukit Minyak, Juru, Pangsapuri Permata Bandar Perda, Taman Janggus, Taman Maluri dan Taman Pauh Damai,” katanya di sini, hari ini.

K. PATHMANATHAN

Selain itu, kata Pathmanathan, seluruh kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) turut terkesan kecuali Bukit Panchor, Transkrian, Permatang Tok Mahat dan Sungai Acheh serta Sungai Bakau.

“Oleh yang demikian, seluruh pengguna yang terkesan dinasihatkan supaya menyimpan bekalan air secukupnya untuk tempoh 24 jam sepanjang tempoh gangguan bekalan.

“Pada masa yang sama, PBAPP juga akan menggerakkan lori tangki air, tangki fleksi dan tangki statik di beberapa kawasan strategik yang akan dimaklumkan kelak menerusi siaran media sosial,” katanya.

Terdahulu, kerja-kerja yang dilakukan kontraktor pihak ketiga secara tidak sengaja telah merosakkan bahagian saluran paip air utama berdekatan PSP itu Khamis lalu sehingga menjejaskan perkhidmatan bekalan air di Seberang Perai pada ketika ini.

Jelas Pathmanathan, pihaknya telah menjalankan siasatan di tapak dan mengesan bahagian yang bocor itu terletak kira-kira 15 meter di bawah longkang besar sehingga menyebabkan tugas menggali lebih dalam untuk membaiki kerosakan agar sukar, berbahaya dan mengambil masa.

“Justeru, PBAPP mengambil keputusan untuk menggantikan saluran paip bocor dengan saluran paip baharu sepanjang 180 meter dan akan menutup injap untuk mengelakkan banjir serta mengasingkan kawasan kerja,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN