84,000 pelajar terima manfaat Program Anak Kita

84,000 pelajar terima manfaat Program Anak Kita

FADHLINA Sidek mencuba komputer riba selepas pelancaran Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Rasa, Hulu Selangor, semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATANG KALI: Seramai 83,752 pelajar dan 3,458 sekolah menerima manfaat daripada Program Anak Kita di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatasi isu keciciran pembelajaran dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, pelajar itu sama ada dikategorikan tercicir atau ketinggalan dalam pelajaran namun berpotensi untuk dipertingkatkan.

Sehubungan itu, katanya, pro­gram itu merupakan satu daripada inisiatif di bawah fo­kus Reformasi Pendidikan yang direka khusus untuk menangani masalah keciciran pembelajaran di Malaysia.

“Jadi kita tidak melihat ini dari satu aspek semata-mata, tetapi bagaimana potensi mereka boleh ditingkatkan, oleh itu, kerajaan membuat keputusan mereka perlu dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Rasa di sini, semalam.

Katanya, Program Anak Kita terdiri daripada tiga program utama iaitu Program 3M (Sekolah Rendah), Program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (Sekolah Menengah) dan Program Murid Cicir (Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah).

Mengikut rekod KPM, bagi Program 3M, sejumlah 53,252 adalah melibatkan murid pemulihan khas (Tahun 2 hingga 6) di 1,288 sekolah, Program SPM melibatkan 10,000 murid Tingkatan 5 (SPM 2024) di 1,500 sekolah menengah dan 20,000 murid Tingkatan 4 (SPM 2025) di 600 sekolah menengah.

Mengenai Program Murid Cicir, Fadhlina berkata, ia melibatkan 500 murid cicir di 50 sekolah menengah 20 sekolah rendah di Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak.

“Untuk program 3M, bagi fasa pertama program ini melibatkan tujuh negeri untuk iaitu Johor, Perak, Selangor, Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak manakala Program SPM melibatkan negeri di seluruh negara.

“Program Murid Cicir pula melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak bagi fasa permulaan,” katanya.

Sebanyak RM100 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 bagi melaksana pendekatan menyeluruh melibatkan semua pihak dalam membantu murid yang terkesan dalam isu keciciran pembelajaran.

Intervensi khusus di bawah Program Anak Kita berlangsung sehingga 31 Disember 2025.

Sementara itu, mengulas me­ngenai dasar pendidikan wa­jib, Fadhlina berkata, KPM ber­sedia berdepan implikasi pe­rundangan termasuk menghukum ibu bapa yang tidak mematuhi dasar pendidikan wajib 11 tahun persekolahan, setelah kerajaan menggubal undang-undang itu di Parlimen nanti.

“Apabila kita membuat dasar pendidikan wajib, sudah pasti ia datang dengan implikasi undang-undang dan beban itu terletak pada ibu bapa. Sebab itu, kerajaan tidak teragak-agak melaksanakan undang-undang (dasar pendidikan wajib) jika ia berkesan kepada (mengelakkan masalah keciciran pelajaran) ke­pada anak-anak.

“Sebab itu, kerajaan tidak teragak-agak melaksanakan undang-undang (dasar pendidikan wajib) jika dilihat ia benar-benar berkesan kepada (mengelakkan masalah keciciran pelajaran) kepada anak-anak.

“Maknanya, anak-anak ini dinafikan hak pendidikannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN