PUTRAJAYA: Seramai 8,195 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) Tahun 2024 bakal mengetahui keputusan masing-masing pada Selasa depan.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), semua calon boleh menyemak keputusan melalui beberapa kaedah yang ditetapkan mulai 10.00 pagi, 1 Oktober ini.
Katanya, semakan melalui dalam talian boleh dilakukan menerusi pautan myresultspmu.moe.gov.my mulai pukul 10:00 pagi pada 1 Oktober 2024 sehingga pukul 6:00 petang pada 7 Oktober 2024.
“(Kaedah semakan juga boleh dibuat) melalui sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan dengan menaip SPMUNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.
“Sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 10:00 pagi pada 1 Oktober 2024 sehingga pukul 6:00 petang pada 7 Oktober 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPM mengucapkan tahniah kepada semua calon atas keputusan peperiksaan SPMU Tahun 2024 yang menduduki di 187 pusat peperiksaan seluruh negara. – UTUSAN