648 mangsa banjir dipindahkan ke 11 PPS di Pulau Pinang

648 mangsa banjir dipindahkan ke 11 PPS di Pulau Pinang

SEBAHAGIAN daripada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Lahar Yooi, Tasek Gelugor, Pulau Pinang susulan banjir yang melanda kediaman mereka semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seramai 648 mangsa banjir dari 173 keluarga telah dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir yang berlaku di beberapa kawasan di tiga daerah di Seberang Perai ketika ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang berkata, antara daerah yang terjejas akibat banjir adalah di Seberang Perai Selatan(SPS), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).

“Di daerah SPU, sebanyak 471 mangsa daripada 104 keluarga telah ditempatkan di empat PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, Sekolah Agama Rakyat (SAR) Ar-Ridwan, SK Padang Menora dan Dewan Banjir Labuh Banting.

“Bagi daerah SPT pula, sebanyak 177 mangsa daripada 45 keluarga telah ditempatkan di lima PPS iaitu di SK Penanti, Dewan Bukit Teh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Rawa, SMK Permatang Pasir dan Sekolah Rendah Islam (SRI) Maahad At-Tarbiah,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, bagi daerah SPS pula, dua PPS dibuka setakat ini iaitu di Dewan Sungai Bakap dan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sanglang yang menempatkan 68 mangsa dari 24 keluarga.

“Berdasarkan situasi semasa, terdapat peningkatan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang berkuatkuasa sehingga esok.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam sidang akhbarnya semalam juga berkata, taburan hujan lebat direkodkan mencecah 110 milimeter per jam sehingga berlaku banjir kilat membabitkan 43 kawasan di SPT dan 28 kawasan di SPS.

Katanya, situasi banjir masih dipantau Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN