6,000 maut akibat nahas motosikal setiap tahun

6,000 maut akibat nahas motosikal setiap tahun

AHMAD Zahid Hamidi ketika merasmikan Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 6,000 penunggang motosikal maut akibat kemalangan jalan raya di negara ini, antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika dihimpunkan jumlah kubur-kubur mangsa tersebut dianggarkan bersamaan dengan keluasan enam padang bola.

“Kita mendengar apa yang dikatakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa kematian disebabkan oleh kemalangan jalan raya ini lebih daripada kematian yang disebabkan oleh Covid-19.

“Dan kesedaran mengenai isu ini mesti dilakukan bermula sekarang serta melibatkan semua pihak, jangan diletakkan tanggungjawab ini kepada Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi tertentu sahaja,” katanya dalam sdang akhbar selepas Majlis Perasmian Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024 di sini, semalam.

Hadir sama, Anthony Loke dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika berucap berkata, berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan, semua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc ke atas wajib dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS).

Jelasnya, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penggunaan sistem itu mampu menurunkan kadar kematian jalan raya sehingga 31 peratus membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Mari kita bermula dengan menjadikan penunggang motosikal lebih selamat kerana 65 peratus daripada jumlah kematian jalan raya tahun lalu, membabitkan penunggang motosikal,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar skop Program Penilaian Motosikal di Malaysia (MyMAP) dapat diperluaskan ke luar negara merangkumi rantau Asia dan ASEAN dalam meningkatkan keselamatan motosikal.

“Setakat ini, MyMAP telah menilai sebanyak 28 model daripada tujuh pengeluar motosikal dan kesemuanya diberi penarafan bintang. Sekarang anda boleh tahu motosikal mana, dari syarikat mana yang lebih selamat dan yang mana tidak,” katanya.

Menerusi perkembangan berlainan, beliau berkata, keputusan untuk menurunkan had laju daripada 40 kilometer per jam (km/j) kepada 30 km/j di zon sekolah sudah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamtan Dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR).

“Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi melaksanakan sistem pengurusan had laju ini seperti memasang palang atau bonggol bagi memperlahankan trafik di zon sekolah.

“Jika inisiatif ini berjaya mengurangkan kemalangan jalan raya di zon sekolah, kita mungkin mempertimbangkan untuk memperluaskannya di kawasan bersesuaian dalam bandar pula,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan telah menggazetkan kadar had laju itu atau sebaliknya, beliau menjelaskan kerajaan bakal berbuat demikian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN