6 individu tidak dinamakan pihak ketiga dalam bicara saman 1MDB

6 individu tidak dinamakan pihak ketiga dalam bicara saman 1MDB terhadap Irwan Siregar, Arul Kanda

MOHD. IRWAN SIREGAR ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan enam individu tidak dimasukkan sebagai pihak ketiga dalam saman AS$6.59 bilion yang dikemukakan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terhadap bekas Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Irwan Siregar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy.

Perkara itu ditentukan selepas Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membenarkan permohonan mereka untuk mengetepikan notis pihak ketiga yang difailkan oleh Mohd. Irwan.

Mereka ialah Datuk Kamal Mohd. Ali, Datuk Seri Norazman Ayob, Azmi Tahir, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Datuk Seri Asri Hamidin dan Datuk Seri Johan Mahmood.

Sehubungan itu, perbicaraan kes saman tersebut akan didengar pada Isnin ini.

Semalam, mahkamah mendengar permohonan keenam-enam pihak untuk mengetepikan notis pihak ketiga yang difailkan Mohd. Irwan.

Ketika menyampaikan keputusannya, Raja Ahmad Mohzanuddin Shah berpuas hati, jika mahkamah membenarkan mereka dinamakan sebagai pihak ketiga, dikhuatiri tindakan itu akan membuka pintu kepada lebih banyak permohonan pihak ketiga dalam kes-kes saman.

Pada Mei 2024, Mohd. Irwan memfailkan permohonan pihak ketiga terhadap enam individu bagi menuntut ‘indemnity atau contribution’ dalam keadaan mahkamah mendapati beliau libel terhadap tuntutan 1MDB.

Sementara itu, peguam Rahmat Hazlan yang mewakili pihak ketiga (ketiga) memberitahu media, wujud kelewatan yang melampau oleh Mohd. Irwan dalam memulakan prosiding pihak ketiga kerana 1MDB telah memulakan saman pada 2021.

“Permohonan pihak ketiga telah difailkan empat bulan sebelum bicara bermula. Oleh itu, mahkamah membatalkan permohonan Mohd. Irwan terhadap kesemua pihak ketiga kerana ia satu penyalahgunaan proses mahkamah,” ujarnya ketika dihubungi selepas prosiding itu.

Dalam permohonan tersebut, Rahmat dan Rahmat Abu Bakar mewakili Azmi manakala Razlan Hadri Zulkifli dan Edmund Choi mewakili Kamal, Norazman dan Asri.

Lodin pula diwakili Izzat Othman dan Ahmad Syateer manakala Datuk Lim Chee Wee dan Emily Ho Mei Li mewakili Johan.

Mohd. Irwan diwakili Lavinia Kumaraendran dan Azhar Jamaluddin.

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman atas dakwaan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan syarikat itu kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang ditukar kepada pelaburan di Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa Arul Kanda dan Mohd. Irwan melakukan pecah amanah serta konspirasi menyeleweng dana 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion, yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Mohd. Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian itu tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkannya kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB antara lain menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion bagi pelanggaran terbabit dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd. Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN