SHAH ALAM: Seramai 55,455 mahasiswa baharu mula mendaftar masuk bagi pengambilan Oktober 2024 di kesemua 34 kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara bermula semalam.
Daripada jumlah tersebut, seramai 26,991 mahasiswa mendaftar masuk bagi pengajian diploma, 24,264 ijazah sarjana muda dan 4,200 pula pra diploma.
Di kampus induk universiti terbesar itu di sini, seramai 4,117 mahasiswa baharu mendaftar untuk memulakan pengajian mereka.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada semua mahasiswa baharu dan menasihatkan mereka supaya memanfaatkan peluang itu sepenuhnya.
“Manfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk mencapai kejayaan akademik serta menyumbang kepada negara.
“Tahniah kerana berjaya melanjutkan pengajian di universiti yang penuh prestij ini. UiTM bangga menyambut anda dan berharap anda akan mengharungi cabaran akademik dengan penuh semangat dan dedikasi,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Tambahnya, mahasiswa yang baharu mendaftar diwajibkan menjalani Minggu Destini Siswa yang merupakan program orientasi diadakan bermula esok sehingga 4 Oktober.
“Program itu bertujuan memperkenalkan mahasiswa kepada kehidupan kampus serta membantu mereka menyesuaikan diri dengan suasana di universiti,” jelasnya.
Terdahulu beliau meluangkan masa bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, untuk beramah mesra dengan para mahasiswa baharu di UiTM Shah Alam sempena hari pendaftaran tersebut.
Proses pendaftaran dibantu pasukan Polis Bantuan UiTM, Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pembantu Minggu Destini Siswa, staf Jabatan HEP, serta petugas kesihatan UiTM Shah Alam.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, penempatan mahasiswa di kolej kediaman di UiTM Shah Alam akan berlangsung pada semalam dan hari ini.
”Pelajar yang mendaftar akan ditempatkan di Kolej Kediaman Mawar dan Kolej Kediaman Perindu, dengan kapasiti masing-masing seramai 2,131 dan 1,986 pelajar.
”Bagi kampus-kampus lain di Kedah, Terengganu, Kelantan, dan Johor, pendaftaran telah bermula lebih awal pada 27 September 2024,” ujarnya. – UTUSAN