55 kanak-kanak penghuni rumah kebajikan dikaitkan GISBH diselamatkan di Perak - Utusan Malaysia

55 kanak-kanak penghuni rumah kebajikan dikaitkan GISBH diselamatkan di Perak

SAARANI Mohamad ditemui pemberita semasa Pelepasan Rimba Raid Lenggong 2024 di Kampung Beng, Lenggong hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Seramai 55 kanak-kanak penghuni rumah amal kendalian GISB Holdings (GISBH) di Perak telah diselamatkan setakat semalam dan mereka kini di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Perkara itu disahkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang tidak menafikan kewujudan aktiviti kumpulan itu di negeri ini.

Beliau juga telah meminta Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk menyediakan laporan tentang kumpulan tersebut yang kini menjadi perhatian rakyat Malaysia.

“Tidak dapat dinafikan memang ada. Saya sudah minta JAIPk, ustaz Harith Fadzilah (Pengarah JAIPk) untuk mengumpul maklumat serta data, dan membuat laporan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Rimba Raid Lenggong 2024 di Kampung Beng, di sini hari ini.

Ditanya tahap keseriusan gelombang GISBH di Perak, Saarani yang memegang portfolio Agama Islam negeri berkata, pihaknya perlu menunggu hasil laporan yang dibuat oleh JAIPk.

Saarani juga berkata beliau juga akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) selepas laporan mengenai GISBH di Perak diterima daripada JAIPk.

“Kita kena tunggu Majlis Fatwa Kebangsaan dan kita akan ikuti apa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya ketika diminta mengulas keputusan negeri lain yang mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai ajaran sesat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN